suria

Rakyat minta keluarkan wang KWSP, kerajaan tambah RM500 dalam Akaun 1 untuk 2 juta ahli

Kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka.

KEBANYAKAN rakyat Malaysia meletakkan harapan tinggi untuk membuat pengeluaran daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun dalam pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah dan pendekatan berbeza dalam usaha membantu rakyat.

"Kepada ahli yang berumur antara 40 hingga 54 tahun dengan simpanan KWSP kurang RM10,000 di dalam Akaun 1 mereka, kerajaan bersetuju untuk menambah caruman simpanan KWSP Akaun 1 mereka sebanyak RM500.

"Program ini akan memberi manfaat kepada hampir dua juta ahli KWSP melibatkan peruntukan hampir RM1 bilion," katanya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan beriltizam untuk membantu rakyat membina semula simpanan persaraan mereka bagi memastikan simpanan yang ada kelak mencukupi untuk membiayai hari persaraan.

Dalam pada itu kerajaan juga bercadang meluaskan skop pelepasan cukai bagi premium insurans nyawa atau caruman takaful hayat untuk meliputi caruman sukarela

kepada KWSP sehingga RM3,000.

Bagi menggalakkan lebih ramai orang bekerja sendiri menyimpan dalam KWSP, kerajaan meningkatkan nilai sumbangan padanan i-Saraan kepada RM300 berbanding RM250 sebelum ini.

RM30 juta disediakan untuk manfaat lebih 100,000 pencarum.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain