suria

Belanjawan 2023: Belia dapat kredit e-Tunai RM200, keluarga miskin tegar layak terima RM3,100

STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima.

ISI rumah berpendapatan kurang RM2,500 layak menerima sumbangan sehingga RM2,500, bergantung kepada bilangan anak.

Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi pembentangan Belanjawan 2023 Malaysia Madani pada Jumaat petang.

Menurut Anwar, kerajaan sudah menyalurkan sumbangan tunai kepada golongan B40 di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 1.

"Beberapa pembaharuan diambil kira supaya isi rumah yang benar-benar terkesan, mendapat manfaat yang lebih daripada STR.

"Antaranya, isi rumah pendapatan kurang RM2,500, layak terima sumbangan sehingga 2,500 ringgit bergantung kepada bilangan anak

ARTIKEL BERKAITAN: Intipati Bajet 2023: Ini yang rakyat bakal terima daripada Kerajaan Perpaduan

"Kerajaan juga akan memberi sumbangan tambahan RM600 kepada isi rumah penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) termiskin mengikut data e-Kasih.

"Ini bermakna, keluarga dalam kumpulan miskin tegar layak terima sumbangan sehingga maksimum RM3,100," ujar Anwar sambil menambah sumbangan itu juga akan disalurkan dalam bentuk bakul makanan dan baucar untuk barangan makanan asas bernilai RM600 ringgit.

Tambah beliau, STR akan membantu meringankan beban sara hidup hampir sembilan juta penerima dengan peruntukan disediakan hampir RM8 bilion.

"Walaupun STR dikaitkan sebagai bantuan kepada B40, tetapi mengambil kira bilangan penerima, sebenarnya STR telah memanfaatkan lebih 60 peratus daripada rakyat dewasa negara.

Dalam pada itu Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan turut menawarkan kredit e-Tunai Belia Rahmah berjumlah RM200 kepada dua juta belia berusia 18 hingga 20 tahun.

Pemberian kredit e-Tunai itu menelan peruntukan sebanyak RM400 juta.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain