suria

Kes tampar pemain: Lesen jurulatih dibatalkan

Jurulatih bola tampar yang menampar dua pemainnya, dibatalkan lesen jurulatih oleh Mava.

JURULATIH bola tampar yang tular baru-baru ini ekoran menampar dua pemainnya, dikenakan tindakan dengan lesen jurulatihnya dibatalkan, kata Hannah Yeoh.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, keputusan tersebut dibuat Persatuan Bola Tampar Malaysia (Mava) melalui Jawatankuasa Perundangan dan Disiplin persatuan berkenaan.

Yeoh dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan keputusan berkenaan dalam sidang media, pada Khamis.

Yeoh berkata sebagai langkah awal, jurulatih yang juga seorang guru itu tidak lagi dibenarkan menjadi jurulatih sukan termasuk menjadi jurulatih kepada pelajar sekolah.

Jurulatih tersebut memegang Sijil Kejurulatihan Bola Tampar Tahap 1 (Sukan Spesifik) oleh Mava.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes tampar pemain: Ibu bapa terima permohonan maaf, tak mahu panjang-panjang isu... Nasib jurulatih diketahui Rabu ini

Beliau masih belum memohon lesen kejurulatihan yang disediakan oleh Skim Perlesenan Kejurulatihan Kebangsaan (SLKK) dan Skim Persijilan Kejurulatihan Kebangsaan (SPKK) seperti yang dipersetujui oleh Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara dengan persatuan sukan negara lain.

Menjawab pembatalan kelayakan jurulatih tersebut, Yeoh dan Fadhlina menegaskan bahawa tidak akan ada kompromi dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan atlet, khususnya generasi muda kerana sebarang tindakan bahaya yang dikenakan boleh menjejaskan masa depan mereka.

Yeoh berkata Majlis Sukan Negara dan Mava telah memuktamadkan siasatan mereka dan telah sebulat suara memutuskan bahawa jurulatih itu harus kehilangan kelayakannya untuk menjadi jurulatih.

"Insiden ini telah membuka mata bahawa terdapat keperluan mewajibkan semua jurulatih kepada murid sekolah menjadi sebahagian daripada SLKK dan SPKK," katanya.

Beliau berkata Kementerian Pendidikan akan bekerjasama rapat dengan Institut Sukan Negara untuk mempersiap jurulatih di sekolah dengan pensijilan yang diperlukan.

"Ini bagi memastikan persekitaran yang selamat, sihat, saling menghormati, dan bebas daripada sebarang bentuk gangguan dan penderaan," katanya.

Terdahulu, video seorang jurulatih yang melempang dua pemainnya tular di laman media sosial, sekaligus mengundang kemarahan ramai.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di sebuah sekolah di Johor pada 16 Disember lalu, iaitu perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat bagi kategori perempuan.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP Shanmugam berkata, ibu bapa kedua-dua pemain remaja itu telah menerima permohonan maaf daripada jurulatih tersebut susulan insiden berkenaan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain