suria

Kes tampar pemain: Ibu bapa terima permohonan maaf, tak mahu panjang-panjang isu... Nasib jurulatih diketahui Rabu ini

Video seorang jurulatih menampar dua pemainnya tular di media sosial.

DUA remaja dan ibu bapa mereka telah menerima permohonan maaf daripada jurulatih bola tampar Melaka berhubung insiden menampar muka dalam satu kejohanan yang berlangsung di Kota Tinggi, Johor, pada 16 Disember lalu.

Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, VP Shanmugam berkata, permohonan maaf berkenaan disuarakan sejurus selepas kejohanan berkenaan berakhir.

"Dia telah menjadi jurulatih pemain tersebut sejak mereka di peringkat sekolah rendah lagi.

"Ibu bapa kepada remaja terbabit juga tidak berniat untuk meneruskan sebarang tindakan terhadap jurulatih tersebut selepas dia menjelaskan apa yang sebenarnya berlaku semasa kejadian," katanya pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: “Jurulatih atau juru tampar orang?” - Hannah Yeoh pun bersuara, ramai desak coach bola tampar dikenakan tindakan

Shanmugam berkata, isu itu hanya timbul selepas klip kejadian tular di media sosial.

Tambahnya, kedua-dua remaja berkenaan juga amat menghormati jurulatih tersebut yang disifatkan sangat berdedikasi dan telah melatih pasukan Bola Tampar Remaja B14 sejak mereka masih di peringkat rendah.

"Dia mungkin telah menampar remaja itu kerana kecewa dengan penurunan prestasi mereka walaupun ini tidak boleh diterima," kata Sahnmugan lagi.

Shanmugam berkata, laporan mengenai kejadian itu telah dikemukakan kepada Majlis Sukan Negara sebelum ini dan satu lagi laporan diserahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan pada Isnin.

Ujar Shanmugam, Majlis Sukan Melaka akan membuat keputusan pada Rabu ini mengenai nasib jurulatih itu, walaupun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) telah membuat keputusan untuk menggantungnya daripada terlibat dalam semua aktiviti bola tampar negara sehingga siasatan selesai.

Katanya, wakil Majlis Sukan Negara, Kementerian Belia dan Sukan, penganjur kejohanan, dua remaja dan jurulatih terbabit akan dipanggil dalam satu pertemuan pada Rabu ini bagi mencari penyelesaian secara baik.

Terdahulu, video seorang jurulatih yang melempang dua pemainnya tular di laman media sosial, sekaligus mengundang kemarahan ramai.

Difahamkan, kejadian tersebut berlaku ketika Kejohanan Bola Tampar Remaja B14 Malaysia 2022 di sebuah sekolah di Johor pada 16 Disember lalu, iaitu perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat bagi kategori perempuan.

Video tersebut turut mendapat perhatian Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan berjanji akan menyiasat insiden berkenaan. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain