suria

Polis siasat dakwaan kamera tersembunyi dalam fitting room

Tangkap layar rakaman gerak geri pelanggan di bilik persalinan.

POLIS menyiasat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di bilik persalinan di sebuah pusat membeli-belah, susulan klip video yang tular.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pihaknya menerima laporan mengenai perkara itu pada petang Isnin.

"Video berdurasi 11 saat daripada kamera tersembunyi itu telah dimuat naik di Twitter," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai rasa tak selamat nak cuba pakaian dapat tahu ada CCTV dalam fitting room! Siapa pula kantoi 'projek' dalam tu?

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan daripada pengurus keselamatan sebuah pusat beli belah di Jalan Imbi.

"Kita telah menjalankan siasatan dan tidak menemui kamera tersebut. Kita percaya ia berlaku di lokasi lain," katanya.

Hantaran asal yang tular.

Hantaran asal yang tular.

Hantaran asal di akaun Twitter itu bagaimanapun telah dipadamkan.

Noor Dellhan berkata, perbuatan tersebut merupakan kesalahan di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Muhammad Fikri Abdul Manan di talian 013-4149917, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau balai polis berhampiran.

Terdahulu, hantaran tersebut merupakan tangkap layar memaparkan empat video berbeza yang dirakam oleh CCTV di salah sebuah premis pakaian terkenal di ibu kota.

Difahamkan, video tersebut 'dijual' oleh individu tidak bertanggungjawab yang dipercayai meletakkan CCTV bagi merakam gerak geri pelanggan yang mencuba pakaian di bilik persalinan (fitting room).

Malah, menerusi salah satu daripada empat tangkap layar rakaman, CCTV yang dipasang juga secara tidak sengaja merakam aksi tidak senonoh pasangan kekasih di dalam fitting room tersebut.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain