suria

Malaysia terima 31,600 kuota jemaah haji dari kerajaan Arab Saudi

Kerajaan Arab Saudi memuji negara di atas pengendalian haji yang baik dan sistematik.

PERBINCANGAN di antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi berjaya mencapai kata putus untuk pemberian kuota haji tahun ini yang berjumlah 31,600 jemaah.

Kata sepakat itu dipersetujui ketika mesyuarat bersempena Persidangan Perkhidmatan Haji dan Umrah 2023 yang dianjurkan Kerajaan Arab Saudi yang berlangsung semalam.

Mesyuarat itu dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar manakala kelulusan diberikan oleh Menteri Haji dan Umrah, Arab Saudi, Dr Tawfiq Fawzan Al-Rabia.

Dalam mesyuarat itu, Dr Tawfiq Fawzan difahamkan telah memuji Lembaga Tabung Haji (TH) atas pengendalian haji yang baik, sistematik dan tahap layanan jemaah haji yang perlu dijadikan contoh kepada pihak lain.

"Saya menegaskan, TH akan sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada bakal jemaah haji Malaysia dan akan mematuhi ketetapan diadakanKerajaan Arab Saudi," kata Mohd Na'im melalui satu kenyataan hari ini.

Pada tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi meluluskan 14,306 kuota haji Malaysia iaitu 45 peratus daripada kuota tahunan yang biasa diterima dan terpakai kepada semua negara.

Jemaah haji yang dibenarkan pula adalah berusia 65 tahun ke bawah, tiada penyakit kronik, mempunyai sijil vaksinasi COVID-19 dan perlu mengemukakan keputusan negatif ujian calitan (PCR) dalam tempoh 72 jam daripada masa berlepas.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain