suria

Pendedahan Tim Leissner terus jadi perhatian, Anwar kemuka usul supaya dibahaskan di Dewan Rakyat

Anwar mengemukakan usul kepada untuk membahaskan pendedahan Tim Leissner (gambar kecil).

PENDEDAHAN Tim Leissner mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) baru-baru ini ternyata menjadi topik perbualan hangat rakyat Malaysia.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin mengemukakan usul kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun untuk membahaskan pendedahan mantan Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs itu mengenai pembabitan Bank Negara Malaysia (BNM) dalam skandal tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Dihalang buat transaksi... SPRM arah beku aset, akaun Rohana

"Saya telah mengemukakan suatu usul kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat di bawah Peraturan Mesyuarat 18 (1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat seperti berikut.

"Bahawa Dewan yang bersidang pada hari ini membincangkan pembongkaran melalui keterangan mantan Pengerusi Goldman Sachs Group Inc Asia Tenggara, Tim Leissner di Mahkamah Amerika Syarikat mengenai amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan institusi Malaysia khasnya Bank Negara Malaysia berentetan daripada skandal 1MDB," ujarnya dalam satu hantaran di Facebook.

Menurut Ahli Parlimen Port Dickson itu, perkara tersebut wajar diberi perhatian dan dibahaskan segera memandangkan ia berkait rapat dengan kepentingan awam.

"Ini adalah perkara yang memerlukan perhatian dan perbahasan terperinci serta menyeluruh di Dewan Rakyat kerana melibatkan kepentingan orang ramai. Ia juga perlu disegerakan kerana pembongkaran kes terkini terdedah ke peringkat antarabangsa dan memerlukan penjelasan segera kerajaan berikutan kegagalan agensi penguatkuasa negara khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan, menyiasat dan mendakwa mana-mana warganegara Malaysia jika terbabit dalam apa-apa kesalahan transaksi kewangan tersebut.

"Saya berharap usul ini mendapat pertimbangan sewajarnya dari Yang di-Pertua Dewan Rakyat," ujarnya lagi.

553 (1)

Bekas Ketua Operasi Asia Tenggara Goldman Sachs, Tim Leissner.

Isnin lalu, Leissner dalam keterangannya di Mahkamah New York membuat pendedahan berkaitan pembelian sebuah rumah bernilai AS$10 juta (RM41.8 juta) di London pada 2013 untuk kekasihnya yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan.

Leissner memberikan keterangan tersebut semasa menjadi saksi utama dalam perbicaraan kes bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng.

Menerusi keterangan yang dilaporkan Bloomberg itu, Leissner mendedahkan pembelian itu dibuat pada 2013 selepas wanita berkenaan mengugut mahu mendedahkan pembabitannya dalam skandal 1MDB.

Ditanya pendakwa raya, Drew Rolle mengenai hubungannya termasuk bersama Rohana, Leissner berkata, hubungan itu berlanjutan dari 2003 hingga 2013.

Leissner pada 2018 telah mengaku bersalah kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang anti rasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

Pada 12 Mei 2021, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa kira-kira RM1.9 bilion (AS$452.36 juta) telah didepositkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dan wang berkenaan adalah sebahagian daripada dana 1MDB yang telah disita.

Sehingga kini, akaun amanah tersebut di bawah seliaan Jabatan Akauntan Negara dan telah menerima sebanyak RM16.05 bilion dana yang disita serta dipulangkan berkaitan 1MDB.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain