suria

Anak KJ diberi dos vaksin Covid-19 ikut prosedur - Jururawat

Jururawat memberi suntikan vaksin kepada anak Khairy.

ANAK lelaki Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin diberikan dos vaksin Covid-19 mengikut prosedur, kata jururawat yang memberikan suntikan itu.

Menerusi video yang dimuat naik di laman Facebook Kementerian Kesihatan pada Rabu, jururawat yang tidak disebutkan namanya itu menjelaskan dia telah mengikuti prosedur yang ditetapkan.

“Saya tunjuk botol vaksin tu kepada ibu dan ayah, saya tunjuk cara saya keluarkan vaksin daripada botol dan volum dalam picagari. Ibu bapa bersetuju dengan dos yang diberikan untuk Pfizer Kids iaitu 0.2ml,’’ katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Ramai sebar fitnah anak dicucuk angin... KJ tegur, "Jangan kacau ibu bapa nak vaksin anak!"

Jururawat itu berkata demikian bagi menangkis dakwaan netizen bahawa dia membuang cecair vaksin untuk kanak-kanak itu sebelum menyuntiknya.

Kedua-dua Menteri Kesihatan dan isterinya, Nori Abdullah berada bersama Raif ketika vaksinasi itu diberikan.

"Demi Allah saya tidak ada langsung keluarkan apa-apa vaksin, yang tidak masuk ke dalam badan kanak-kanak itu. Dia berada dekat dengan saya, jadi kalau saya tunjuk jarum tu, dia akan takut," katanya.

"Jadi saya terpaksa turun ke bawah sedikit dan distract dia dan minta dia kira dari satu hingga sepuluh," tambahnya.

Jururawat itu kemudian memberitahu dia segera menyuntik dan mengira satu hingga sepuluh sebelum menolak omboh masuk sebaik sahaja melihat Raif dalam keadaan baik dan tidak bergerak.

"Secara logik dari pandangan sisi, bagaimana anda boleh melihat vaksin itu menitis keluar. Ia tidak boleh menitis melainkan saya menolaknya dengan sebelah tangan yang tidak saya melakukannya. Semua orang dapat melihatnya dengan jelas,'' katanya.

Katanya, prosedur untuk menyuntik vaksin juga memerlukannya menarik sedikit udara sebaik saja jarum ditusuk ke tubuh badan untuk memastikan ia tidak terkena saluran darah, sebelum vaksin disuntik masuk.

Selepas beri suntikan, jururawat itu menunjukkan kepada ibu bapa bahawa ia adalah vaksin yang sudah masuk dan menampalkan plaster pada lengan Raif sebaik diberi suntikan vaksin.

"Tolonglah untuk tidak membuat sebarang andaian dan tuduh kerana ini membabitkan kehidupan orang lain.

"Bagaimanana jika ia berlaku kepada anda? Apa yang anda rasa... tidak selesa, geram dan sakit hati berdepan dengan tuduhan sedemikian.

"Saya hanya menjalankan tanggungjawab untuk memastikan ia berjalan dengan selancar boleh supaya saya dapat memberi keselesaan kepada kanak-kanak.

"Setiap kanak-kanak yang saya suntik, saya cuba berikan yang terbaik untuk memastikan proses itu lancar dan tidak menimbulkan trauma kepada mereka.

"Siasat terlebih dahulu sebelum nak menghukum. Saya rasa saya sudah menjalankan tugas dengan menerangkan kepada ibu bapa," katanya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain