suria

Pilu... 55 kanak-kanak bergelar yatim piatu selepas ibu bapa maut akibat Covid-19

Seramai 1,813 kanak-kanak di Selangor kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19 dalam tempoh Januari 2020 sehingga September 2021.

PANDEMIK Covid-19 bukan sahaja memberi kesan kepada ekonomi, malah turut meragut nyawa penduduk di seluruh dunia.

Sepanjang tempoh pandemik, ramai yang sudah kering air mata menangisi pemergian keluarga masing-masing selepas tewas melawan wabak itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Angka harian Covid-19 meningkat, Malaysia rekod 4,965 kes baharu

Menurut Exco Kesihatan Awam, Perpaduan, Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud, seramai 1,813 kanak-kanak di Selangor kehilangan ibu, bapa atau penjaga akibat Covid-19 manakala 55 daripada jumlah itu menjadi yatim piatu dalam tempoh Januari 2020 sehingga September 2021.

Jelasnya, jumlah itu direkodkan oleh 10 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh negeri

"Daripada jumlah itu juga, seramai 30 penjaga meninggal dunia," katanya ketika sesi Mesyuarat Kedua Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor ke -14 di sini pada Selasa.

Siti Mariah berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (DAP-Kampung Tunku) mengenai bilangan anak yatim dan yatim piatu di negeri Selangor akibat Covid-19 dari Januari 2020 sehingga September 2021.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor tidak mempunyai data bilangan anak yatim atau anak yatim piatu akibat penyakit Covid-19 mengikut Dewan Undangan Negeri (DUN).

Menurutnya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor hanya merekodkan data secara keseluruhan dan bilangan mengikut PPD di Selangor sahaja seperti yang dimaklumkan dalam data yang disediakan.

"Antara tiga daerah yang mempunyai bilangan anak yatim tertinggi akibat Covid19 ialah daerah Hulu Langat, Klang dan Petaling Perdana," katanya. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain