suria

Kes seleweng dana SRC, nasib Najib bakal diketahui esok

Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan mengenai rayuan Najib, esok.

MAHKAMAH pada Rabu akan memutuskan rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk mengenepikan sabitan dan hukuman atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd (SRC).

Keputusan akan diputuskan di Mahkamah Rayuan pada pukul 9 pagi oleh panel tiga hakim, diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Dalam prosiding terakhir pada 18 Mei iaitu hampir tujuh bulan lalu, Najib mengemukakan 307 alasan, dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan penyelewengan dana SRC.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes SRC: Najib bersalah semua 7 pertuduhan

Antaranya ialah, Najib menyatakan, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang membuat keputusan mensabitkannya pada 28 Julai 2020, gagal menimbangkan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho atau Jho Low menipu dan memanipulasi akaun bank miliknya.

Ahli Parlimen Pekan itu juga mendakwa, Mohd Nazlan terkhilaf apabila membuat dapatan bahawa pembelaannya mengenai sumbangan daripada Raja Arab Saudi, Almarhum Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud melalui tiga surat, sebagai cerita rekaan semata-mata.

Pada 17 Oktober 2020, Najib dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap tiga kes pecah amanah dan masing-masing tiga kes pengubahan wang haram manakala penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta, jika tidak dipenjara lima tahun bagi kes penyalahgunaan kedudukan.

Bagaimanapun, Najib hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas hakim memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.

Mahkamah kemudian membenarkan Najib untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara menunggu rayuan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta berserta dua penjamin. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain