suria

Hilang kerja, pasangan siswazah OKU penglihatan, ‘celik hati’... bangkit buat bisnes e-dagang, percaya Bajet 2022 prihatin bantu golongan senasib

Foto kiri Yusri (kanan) dan isteri graduan UM, kanan Yusri dan isteri menjual barang di platform e-dagang.

WALAUPUN berstatus Orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan, namun pasangan suami isteri ini amat peka dengan inti pati pembentangan Bajet 2022, pada 29 Oktober lalu.

Mereka merupakan antara ribuan yang terkesan dek pandemik Covid-19, dan turut pernah hilang punca pendapatan tetap.

Bagi Mohamad Yusri Azis, 28, dan isteri, Nur Jannah Tan Jia Hui, 29, Bajet 2022 dilihat sebagai pembuka ruang dan peluang yang lebih baik untuk golongan seperti mereka.

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup tinggalkan kerjaya geosaintis demi bisnes gim, lelaki ini akui terjejas teruk akibat pandemik... Kini harapkan Bajet 2022 beri sinar baharu

ARTIKEL BERKAITAN: Suami hilang kerja akibat pandemik, isteri beranikan diri jual 'roti kampung'... Impikan bantuan Bajet 2022 nak besarkan bisnes

"Kami bekerja di sebuah restoran berkonsep ‘dine-in’ dalam gelap di Johor pada akhir 2019. Tapi sedih kerana restoran itu terpaksa ditutup apabila mengalami kerugian akibat pandemik.

"Keadaan kami umpama celik dalam gelap sekali gus menjadikan pekerjaan seumpama itu begitu serasi. Tapi tiada harapan lagi untuk restoran berkonsep sedemikian beroperasi ketika musim Covid-19," katanya.

Yusri (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga ketika pandemik.

Yusri (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga ketika pandemik.

Terus melangkah ke hadapan, Yusri yang berasal dari Georgetown, Pulau Pinang menjual pelbagai barang secara dalam talian demi meneruskan kelangsungan hidup.

Bayangkan pasangan ini baru mendirikan rumah tangga ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini, mereka terus diuji dengan persekitaran yang tidak menentu.

"Dalam kekangan, kami jual macam-macam barang seperti sambal hitam, pekasam, acar buah, choco jar, sambil bilis dan sambal tempe rangup menerusi platform e-dagang.

"Berniaga sewaktu PKP ada pasang surutnya. Pernah mencecah 480 order atau tempahan seminggu, sehingga paling sikit kira-kira 15 tempahan.

"Mujur kami mempunyai sedikit simpanan untuk tampung setiap kali ada yang kurang. Kami OKU pun perlu bayar sewa tempat tinggal, bil air dan elektrik dan makan minum," katanya yang bersyukur turut menerima bantuan barangan keperluan asas daripada beberapa badan bukan kerajaan (NGO) sepanjang PKP.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober lalu.

Tengku Zafrul ketika membentangkan Bajet 2022 di Parlimen pada 29 Oktober lalu.

Yusri dan isteri, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sosio-Budaya Melayu Universiti Malaya (UM), memang menanti-nantikan pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz di Parlimen.

Justeru, Yusri dan isteri amat berharap kerajaan memberi perhatian kepada golongan OKU terutama dari segi peluang pekerjaan dan sumber pendapatan dalam pelbagai cara.

Katanya, penyediaan kuota khas OKU menerusi Program Pekerjaan Jangka Pendek (MyStep) dalam Bajet 2022 akan membantu mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan OKU.

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera', bersandarkan kepada tiga paksi utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Memacu Pembaharuan, membabitkan peruntukan sebanyak RM332.1 bilion.

Info grafik ringkas mengenai manfaat kepada OKU dalam Bajet 2022.

Info grafik ringkas mengenai manfaat kepada OKU dalam Bajet 2022.

Berikut adalah manfaat Bajet 2022 untuk golongan OKU.

1. Pekerjaan:

Bagi memastikan tempat buat anak muda OKU menceburi bidang pekerjaan, kerajaan akan menyediakan kuota khas 1 peratus kepada golongan OKU dalam program MyStep.

2. Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia (JaminKerja):

Bagi menggalakkan majikan menyediakan peluang pekerjaan kepada kumpulan tumpuan seperti OKU yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), insentif sebanyak 30 peratus daripada gaji bulanan disediakan bagi tempoh enam bulan pertama dan 40 peratus bagi enam bulan berikutnya, tertakluk kepada pekerjaan bergaji RM1,200 ke atas.

3. Pendidikan berkualiti:

Pembelian peralatan pengajar dan menambah baik fasiliti sekolah berkeperluan khas (Peruntukan RM50 juta).

4. Kebajikan:

Peruntukan RM30 juta bagi menaik taraf infrastruktur bangunan kerajaan supaya mesra OKU, antaranya menyediakan lebih banyak laluan khas bagi kegunaan golongan OKU penglihatan.

Kerajaan akan terus giat melaksanakan program-program pembangunan sosioekonomi dan melindungi kebajikan komuniti tumpuan, terutama melibatkan warga emas, kanak-kanak dan OKU.

Golongan OKU turut menerima manfaat menerusi insentif penggajian JaminKerja.

Golongan OKU turut menerima manfaat menerusi insentif penggajian JaminKerja.

5. Latihan:

Peruntukan RM10 juta untuk Pusat Latihan Berdikari serta sebuah Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan Kerajaan (PLPP) bagi melaksanakan program latihan dan bimbingan ajar kepada golongan OKU.

Mewujudkan lebih banyak Program Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) di universiti awam (Peruntukan RM10 juta).

6. Akses media:

Bagi meningkatkan akses terhadap media di samping membolehkan golongan OKU cakna dengan berita semasa dan informasi terkini, semua rangkaian TV termasuk saluran swasta, akan menyediakan jurubahasa isyarat dalam penyampaian berita mereka dengan bantuan Bernama (Peruntukan RM1 juta).

7. Sukan:

Bagi memperkasa Sukan OKU, RM10 juta diperuntukkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) khusus untuk meningkatkan program latihan atlet OKU dan melaksanakan Liga Sukan OKU.

Program MyStep memberi peluang pekerjaan kepada rakyat termasuk OKU.

Program MyStep memberi peluang pekerjaan kepada rakyat termasuk OKU.

8. Akses kemudahan pengangkutan:

Inisiatif MyRail5 - Pas perjalanan bulanan tanpa had selama 30 hari pada harga RM5 kepada pelajar sekolah tahun 1 hingga tingkatan 6 serta golongan OKU (Peruntukan RM3.6 juta).

9. Lesen cukai jalan kenderaan:

Kerajaan menanggung sepenuhnya bayaran Lesen Kenderaan Motor ke atas semua kenderaan persendirian milik OKU, sedikit-sebanyak meringankan kos sara hidup OKU.

Isteri Yusri membantu mengurus bisnes di platform e-dagang.

Isteri Yusri membantu mengurus bisnes di platform e-dagang.

Menyedari perhatian kerajaan terhadap OKU, Yusri tidak ketinggalan menyarankan supaya kerajaan mempergiat latihan keusahawanan untuk golongan senasibnya bagi membolehkan mereka yang menganggur dan hilang punca pendapatan akibat pandemik, dapat bangkit semula menjalani kehidupan lebih baik.

Ini katanya, termasuk kuota satu peratus untuk peluang pekerjaan kepada golongan OKU.

"Saya dan isteri lulusan UM sejak 2017, pernah mohon pekerjaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), tapi sehingga kini masih belum diberi peluang bekerja dalam sektor kerajaan.

"Nak kerja di sektor swasta lagi susah, ada pihak kata 'Awak tak boleh nampak, macam mana nak kerja?'. Mereka silap kerana kami sebagai OKU penglihatan mempunyai sistem sokongan seperti pembaca skrin dan boleh menggunakan laptop.

"Jika diberi peluang kerja di pejabat, kami juga boleh menguruskan dokumen dan melakukan kerja-kerja menaip dan Internet browsing. Tapi ramai graduan OKU terutama yang mempunyai masalah penglihatan, menganggur atau melakukan kerja di luar bidang," katanya.

Yusri (kiri) dan isteri mahu mempelbagaikan jualan barang kepada produk bukan makanan.

Yusri (kiri) dan isteri mahu mempelbagaikan jualan barang kepada produk bukan makanan.

Sehubungan itu, Yusri dan isteri serta tentunya ramai lagi OKU di negara ini, mengharapkan Bajet 2022 akan membawa perubahan yang jauh lebih baik dalam kehidupan mereka.

"Saya berharap kerajaan prihatin membela nasib kami dalam kalangan OKU, bukan sahaja dari segi infrastruktur dan insentif, malah peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih baik," katanya yang merancang untuk mempelbagaikan jualan barang kepada produk bukan makanan.

Artikel Lain