suria

Suami hilang kerja akibat pandemik, isteri beranikan diri jual ‘roti kampung’... Impikan bantuan Bajet 2022 nak besarkan bisnes

Zawiah menjual roti hasil air tangannya menggunakan sebuah ketuhar kecil.

SAMA seperti individu lain, Zawiah Zakaria merupakan antara jutaan rakyat Malaysia yang tidak melepaskan peluang menonton pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober lalu.

Pernah mendapat perhatian kerajaan menerusi bantuan tunai 'one-off' sebelum ini, pandemik Covid-19 yang 'membadai' membuatkan Zawiah daripada golongan B40 ini benar-benar terkesan dan begitu mengharapkan sesuatu daripada Bajet 2022 untuk mengubah kehidupannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kongsi asam garam 2 tahun belajar secara online, siswa akui gangguan Internet cabaran terbesar! Kini Gen Z lega... Bajet 2022 macam-macam ada

ARTIKEL BERKAITAN: Sanggup tinggalkan kerjaya geosaintis demi bisnes gim, lelaki ini akui terjejas teruk akibat pandemik... Kini harapkan Bajet 2022 beri sinar baharu

"Saya hanya seorang suri rumah. Sumber pendapatan kami tiga beranak hanya mengharapkan daripada suami saja, Azwan Hanafi yang bekerja kilang sebelum ini.

"Kilang tempat kerja suami saya tidak boleh beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di tempat kami, bermakna suami saya tidak dapat bekerja dan hilang pendapatan.

Dalam serba kesempitan itu, Zawiah yang menetap di Kampung Sungai Ular, Kuantan Pahang, enggan berpeluk tubuh sebaliknya cuba mengusahakan menjual roti ban buatan sendiri.

"Suami pula hanya ke kilang apabila khidmatnya diperlukan, jadi pendapatan kami memang tak menentu. Sebulan tu pendapatan suami hanya sekitar RM400 sahaja. Anak kami pada usia prasekolah pun perlukan belanja. Memang cukup-cukup makan dan kena berjimat," katanya.

ROTI 3

Wanita ini 'menumpang' berniaga roti di kedai runcit di kampungnya.

Justeru, besar harapan buat Zawiah agar dirinya tidak terkecuali mendapat perhatian kerajaan menerusi Bajet 2022 khususnya dalam mengembangkan lagi perniagaan rotinya yang diberi nama 'The Roti Kampung'.

Beliau melihat peluang daripada peruntukan kerajaan sebanyak RM230 juta bagi dana pembiayaan untuk membantu usahawan wanita.

Ia merangkumi program Skim Pembiayaan Perniagaan Khas Wanita (DanaNITA) di bawah Majlis Amanah Rakyat dan Tekunita menerusi Tekun Nasional bagi membantu usahawan wanita yang terkesan akibat Covid-19 selain meningkatkan kapasiti perniagaan mereka.

Menteri Kewangan Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz juga berkata kerajaan akan melaksanakan program MyKasih Kapital untuk menggalakkan wanita menjana pendapatan dari rumah.

ROTI 2

Zawiah menghasilkan dua jenis roti iaitu roti manis dan roti ban kacang merah.

Menerusi MyKasih Kapital, insentif dalam bentuk asas modal perniagaan akan diberikan selain program bimbingan bagi menggalakkan perniagaan secara dalam talian, yang bakal memanfaatkan 5,000 peserta.

Teruja dengan pengumuman mengenai bantuan untuk pembiayaan usahawan wanita, Zawiah menaruh harapan untuk mengembangkan lagi perniagaannya.

"Inilah yang saya harap-harapkan sangat... untuk seorang suri rumah seperti saya, apabila nak mulakan bisnes, kami perlukan suntikan untuk kita bergerak ke hadapan. Kalau ada rezeki saya (di bawah Bajet 2022), memang bersyukur sangat," katanya.

ROTI 5

Tiga elemen utama yang menjadi fokus dalam Bajet 2022.

Bajet 2022 bertemakan 'Keluarga Malaysia, Makmur Sejahtera' dan bersandarkan tiga langkah utama, iaitu Memperkukuh Pemulihan, Membina Daya Tahan dan Menyusun Semula, menggerakkan inisiatif menerusi pelbagai program bantuan menyokong usahawan untuk bangkit semula.

Selain daripada DanaNITA, Tekunita dan MyKasih Kapital untuk pembiayaan usahawan wanita, kerajaan turut memperuntukkan insentif berikut bagi golongan ini:

1) Sejumlah RM5 juta diperuntukkan kepada Yayasan Kepimpinan Wanita untuk merancakkan penyertaan kumpulan itu dalam sektor ekonomi antaranya melalui latihan kepimpinan muda dan program keusahawanan.

2) Lebih RM11 juta disediakan sebagai subsidi ujian mamogram kepada wanita berisiko tinggi dan melaksanakan ujian saringan kanser serviks

3) Sebanyak RM30 juta disediakan untuk kemudahan taska di bangunan kerajaan terutama di hospital dan universiti awam untuk ibu berkerjaya

4) Lanjutan pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM3,000 bagi bayaran yuran taska dan tadika sehingga tahun taksiran 2023.

ROTI 4

Insentif khas untuk wanita sebagaimana yang diumumkan dalam pembentangan Bajet 2022.

5) Edaran kit asas kebersihan secara percuma kepada 130,000 remaja wanita golongan B40 setiap bulan.

6) Pelantikan sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita bagi semua syarikat senaraian awam yang dijangka berkuat kuasa pada 1 September 2022 bagi syarikat bermodal besar dan 1 Jun 2023 bagi syarikat tersenarai lain.

7) Sejumlah RM13 juta diperuntukkan bagi memperkasakan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Polis Diraja Malaysia termasuk mewujudkan 100 perjawatan baharu selain melaksanakan Skuad Waja bagi program kesedaran komuniti berhubung keganasan terhadap wanita di seluruh negara.

Di bawah Bajet 2022, Zawiah dan keluarga juga berpeluang mendapatkan pertolongan antara lain menerusi Bantuan Keluarga Malaysia yang menyasarkan 9.6 juta penerima daripada peruntukan berjumlah RM8.2 bilion, dan bantuan awal persekolahan untuk anaknya yang bakal ke sekolah tahun depan sebanyak RM150.

Beliau juga boleh dilindungi di bawah program Kasih Suri Keluarga Malaysia yang mempekenalkan perlindungan sosial kepada suri rumah melalui caruman KWSP dan PERKESO. Kerajaan menyediakan RM80 juta untuk program ini.

Pelbagai program dan inisiatif yang ditawarkan di bawah Bajet 2020 ini terutama untuk keluarga B40 dan wanita, pastinya dapat membantu Zawiah membesarkan perniagaan rotinya, mengukuhkan ekonomi serta memelihara kebajikan keluarganya.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain