suria

Cuba culik pelajar perempuan, lelaki direman empat hari

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata suspek lelaki berusia 35 tahun itu didapati positif dadah jenis methamphetamine.

SEORANG lelaki berusia 35 tahun berjaya ditahan polis kerana dipercayai cuba menculik seorang pelajar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine, ditahan di Senawang, Negeri Sembilan, kira-kira 8.53 malam pada Sabtu (27 Nov).

Beliau berkata operasi memburu suspek giat dijalankan selepas seorang pelajar berusia 13 tahun berjaya melarikan diri daripada cubaan menculik, di hadapan sekolahnya di Taman Molek, Johor Bahru pada 25 November lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Seorang lagi ditahan bantu siasatan kes culik dan bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri

"Polis turut merampas telefon bimbit suspek, sehelai baju hitam dan seluar jeans.

"Suspek juga mempunyai rekod lampau bagi kesalahan jenayah dan dadah," katanya pada Ahad.

Ayob Khan menambah, suspek telah ditahan reman selama empat hari sehingga 1 Disember.

Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan bagi kesalahan berkaitan menculik, yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.50 pagi, 25 November lalu, mangsa ketika itu sedang berjalan kaki ke sekolah.

Seorang lelaki tidak dikenali yang memandu kereta menghampiri mangsa dan meminta gadis tersebut menyerahkan beberapa borang kepada pihak sekolah sebelum memujuknya masuk ke dalam kereta.

Pelajar itu enggan dan akhirnya ditarik masuk ke dalam kenderaan berkenaan.

Mangsa bagaimanapun berjaya melarikan diri tanpa sebarang kecederaaan, kira-kira 400 meter dari tempat kejadian.

Video ketika insiden cubaan menculik itu tular di media sosial. - THE STAR

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain