suria

Seorang lagi ditahan bantu siasatan kes culik dan bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri

Seorang lagi ditahan berhubung kes culik dan bunuh ahli perniagaan bergelar Datuk Seri, menjadikan keseluruhan yang ditahan seramai sembilan orang.

SEORANG lagi individu ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di Batu 27, Jalan Rawang-Bestari Jaya, Rawang pada pagi Sabtu.

Lelaki itu, N. Vikneswarar, atau lebih dikenali sebagai Thamby @ Vinod, menyerah diri di Balai Polis Rawang pada Isnin malam (29 Jun).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Datuk Fadzil Ahmat berkata polis telah mendapatkan perintah tahanan reman tujuh hari ke atas lelaki itu mulai Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mayat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditemui selepas lebih 2 minggu diculik, tujuh termasuk warga Bangladesh ditahan

Pada Sabtu, mayat ahli perniagaan yang terlibat dalam perniagaan hartanah itu ditemui di dalam semak berhampiran Jalan Rawang-Bestari Jaya kira-kira pukul 9 pagi.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.

Menurut polis, seorang ahli perniagaan bergelar Datuk dan seorang lelaki yang mendakwa dirinya peguam, adalah antara tujuh lelaki yang ditahan berkaitan kes tersebut.

Polis tidak menolak kemungkinan persaingan perniagaan merupakan motif di sebalik jenayah tersebut.

Sehingga kini, seramai sembilan suspek ditahan polis berkaitan dengan penculikan tersebut. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

ahli perniagaan, culik

Artikel Berikut

Artikel Lain