suria

Mayat ahli perniagaan bergelar Datuk Seri ditemui selepas lebih 2 minggu diculik, tujuh termasuk warga Bangladesh ditahan

Polis menahan tujuh individu bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri.

POLIS menahan tujuh lelaki termasuk seorang warga Bangladesh bagi membantu siasatan kes culik seorang ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang mayatnya ditemukan di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya, Rawang pada pagi Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata kesemua suspek, termasuk dalang, berumur lingkungan 30 dan 40-an ditahan dalam beberapa operasi di sekitar Selangor bermula 11 pagi Jumaat.

ARTIKEL BERKAITAN: Inspektor polis disyaki culik sebelum rogol dua wanita semasa sekatan PKP ditahan

"Mahkamah telah membenarkan permohonan reman terhadap suspek antara lima dan tujuh hari bermula hari ini (Sabtu) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaaan dan Seksyen 3 Akta Culik 1961," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi yang dipercayai tempat mangsa disembunyikan di Taman Kosaso, Rawang.

Katanya, siasatan awal polis mendapati seorang daripada suspek telah menghubungi keluarga mangsa dan meminta wang tebusan S$50 juta, namun tiada pembayaran dibuat.

Mangsa juga dipercayai mengenali dalang kes ini, katanya.

Fadzil berkata mangsa yang terlibat dalam perniagaan hartanah dipercayai telah meninggal dunia tiga atau empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat yang sudah mula reput.

Katanya punca sebenar kematian mangsa masih dalam siasatan dan mayat dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat.

Mangsa dipercayai diculik ketika bersenam di kawasan taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, pada 10.30 pagi, 10 Jun lepas.

Mayat lelaki berusia 55 tahun itu ditemukan kira-kira 9 pagi tadi susulan penangkapan beberapa suspek kes berkenaan. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

ahli perniagaan, culik, Bangladesh

Artikel Lain