suria

SPR umum Undi 18 sudah diwarta, mula berkuat kuasa 15 Disember

SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam masa terdekat.

KHABAR gembira buat golongan muda apabila pindaan umur kelayakan pengundi 18 tahun di negara ini dan pendaftaran pemilih secara automatik telah diwartakan secara rasmi pada Rabu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, Seksyen 3(a) dan (b) Akta Perlembagaan (Pindaan) 2019 itu diwartakan sebagai P.U.(B) 615/2021 dan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“SPR juga ingin memaklumkan bahawa pindaan kepada perundangan subsidiari berkaitan pilihan raya iaitu Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) (Pindaan) 2021 dan Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2021 telah diwartakan pada 30 November 2021.

“Ia diwartakan sebagai P.U.(A) 433/2021 dan P.U.(A) 434/2021 yang akan berkuat kuasa pada 15 Disember 2021 setelah mendapat perkenan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Seksyen 17 Akta Pilihan Raya 1958,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru katanya, SPR akan membentangkan kedua-dua pindaan peraturan-peraturan tersebut dalam Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas (2021) dalam masa terdekat. - Sinar Harian.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain