suria

Kecoh roti canai RM4 di Langkawi, KPDNHEP minta pelanggan tampil buat aduan

Timbul dakwaan mengenai roti canai dijual RM4 sekeping di Langkawi. -gambar hiasan

SELEPAS isu ikan siakap, harga sekeping roti canai biasa di Langkawi didakwa dijual pada harga yang tidak munasabah.

Susulan dakwaan roti canai dijual pada harga RM4 di Langkawi, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal (KPDNHEP) meminta pelanggan yang mempunyai maklumat berhubung perkara itu supaya tampil membuat aduan.

Menurut laporan Astro Awani, Pengarah KPDNHEP Kedah, Rae Morn Verak dipetik sebagai berkata, pegawai telah diarahkan untuk membuat pemeriksaan.

Namuan katanya, tiada laporan sedemikian ditemui.

Sehubungan itu, beliau meminta pelanggan berkenaan atau mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung roti canai RM4 itu membuat laporan serta mengemukakan resit kepada KPDNHEP untuk siasatan dijalankan.

"Pihak kami berhubung dengan Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) untuk mendapatkan maklumat lanjut dan kami juga menyeru sekiranya ada pihak yang terlibat tolong kemukakan kepada kami resit untuk kita buat siasatan.

"Pada masa sama, saya sudah arahkan KPDNHEP cawangan Langkawi untuk mengadakan pemantauan melalui Op Menu di kawasan-kawasan yang dinyatakan tersebut," katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Astro AWANI semalam melaporkan bahawa CAKE menerima 100 aduan berkaitan makanan mahal di negeri itu.

Setiausaha CAKE, Mohd Yusrizal Yusoff dilapor berkata, aduan itu termasuklah kes roti canai dijual pada harga RM4 sekeping di Langkawi, kira-kira dua minggu lalu.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain