suria

Banyak pihak tawar kerjasama politik hadapi PRN Melaka, Umno belum muktamadkan keputusan - Zahid

Zahid berkata Umno belum memuktamadkan keputusan mengenai kerjasama politik dengan parti lain bagi menghadapi PRN Melaka.

KETIKA Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bakal berlangsung sebulan dari sekarang, sedikit sebanyak soal kerjasama antara parti-parti politik terutama Umno, menjadi tumpuan ramai.

Bagaimanapun menurut Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti itu masih belum memuktamadkan sebarang keputusan kerjasama dengan mana-mana parti politik untuk berdepan PRN Melaka, 20 November depan.

Ujarnya, keputusan rasmi akan diumumkan apabila mesyuarat biro politik dan juga Majlis Kerja Tertiggi (MKT) Umno diikuti Mesyuarat Tertiggi Barisan Nasional (BN) yang akan diadakan pada minggu depan ataupun diputuskan sebelum hari penamaan calon.

ARTIKEL BERKAITAN: 20 November depan ditetapkan sebagai tarikh pengundian PRN Melaka

"Umno dan BN mungkin ditanya siapakah rakan politik kami untuk menghadapi PRN Melaka.

"Saya ingin menyatakan bahawa keputusan muktamad untuk Umno dan BN bekerjasama dengan mana-mana pihak masih belum diputuskan secara rasminya," katanya ketika sidang akhbar selepas pelancaran jentera PRN Umno di D'Acqua di Kampung Pulau, Alor Gajah pada Selasa.

Justeru ujarnya, sebelum sebarang keputusan kerjasama itu dicapai, beliau berharap penganalisis politik tidak meramalkan berhubung pendirian Umno dalam PRN Melaka.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid mengakui, parti keramat itu turut didatangi pelbagai pihak yang mahu menawarkan kerjasama untuk menghadapi PRN Melaka.

"Kami berlapang dada dan berfikiran terbuka kepada siapa sahaja yang mahu memberikan pandangan.

"Kami terima, namun segala keputusan kami putuskan secara kolektif apabila tiba masanya," katanya.

Ditanya mengenai calon, Ahli Parlimen Bangan Datuk itu berkata, setakat ini pihaknya akan memberikan tumpuan kepada calon-calon yang berkebolehan untuk menang dengan mengenal pasti beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) berdasarkan sains dan data termasuk melalui perangkaan yang diperolehi pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

Menurutnya, senarai calon juga akan dimuktamadkan serta diputuskan sebelum hari penamaan calon dan parti itu berpegang kepada perlembagaan Umno di mana calon-calon pilihan raya akan dibincangkan di peringkat bahagian. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

PRN Melaka, kerjasama politik, Umno

Artikel Berkaitan

Artikel Lain