suria

Kertas Pandora: Anwar akan dipanggil SPRM

Anwar dipanggil berhubung pendedahannya mengenai Kertas Pandora yang turut melibatkan nama beberapa tokoh politik negara.

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pendedahannya mengenai Kertas Pandora yang turut melibatkan nama beberapa tokoh politik negara.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki.

Azam berkata beliau telah mengarahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya dan pegawainya untuk berjumpa Ahli Parlimen Port Dickson itu untuk dirakam keterangan.

ARTIKEL BERKAITAN: Bukit Aman mula siasat dakwaan Kertas Pandora

Menurutnya, keputusan sama ada kertas siasatan akan dibuka atau tidak bergantung kepada hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan agensi-agensi terlibat.

"Sama ada kita buka atau tidak kertas siasatan, kita kena bincang dengan pihak BNM dan agensi-agensi berkaitan.

"Beri sedikit masa, kami akan buat janji temu dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kertas Pandora adalah laporan yang mendedahkan senarai urus niaga melibatkan tokoh-tokoh politik, ahli-ahli perniagaan, selebriti-selebriti yang membuka akaun di pusat-pusat kewangan pesisir di dunia.

Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam Kertas Pandora itu; antaranya ialah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; Timbalan Menteri Kewangan, Yamani Hafez Musa dan keluarga ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Pendedahan ini dibuat pada Ahad oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), melibatkan 600 wartawan daripada 150 organisasi media di 117 negara. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain