suria

Boleh melancong ke semua negara, nak umrah pun boleh - PM

Rakyat Malaysia dibenarkan untuk melancong ke mana-mana negara berkuatkuasa 11 Oktober.

RAKYAT Malaysia dibenarkan melakukan perjalanan atau melancong ke mana-mana negara, demikian menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Bagaimanapun tegas Perdana Menteri, buat masa ini kerajaan masih lagi belum membuka pintu sempadan untuk kemasukan pelancong dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah boleh balik kampung, melancong... tapi jangan lupa SOP! - PM

"Saya dapat makluman daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan juga Majlis Keselamatan Negara (MKN), boleh untuk (keluar) semua negara.

"Mungkin ada yang nak melancong, umrah dan sebagainya. Sempadan telah dibuka untuk rakyat kita keluar.

"Tetapi kita masih lagi belum membuka pintu negara kita untuk pelancong asing setakat ini," katanya dalam sidang media khas sebentar tadi.

Tambah Ismail Sabri, buat masa ini pintu sempadan negara hanya dibuka untuk urusan kecemasan, perniagaan atau rasmi.

"KKM sedang menilai negara-negara yang tiada risiko. Dulu kita pernah cadang Green Travel Bubble, ada tujuh negara kita nak buka tapi akhirnya kita tutup semula kerana kes meningkat di negara mereka dan negara kita.

"Namun sekarang ni hampir seluruh dunia sudahpun memberikan vaksin kepada rakyat mereka, perkembangan ini mungkin ini jadi pertimbangan kepada KKM untuk buka sempadan kita.

"Kita sedang buat kajian tentang kemasukan ini dan InsyaAllah kita akan umum dalam waktu terdekat," katanya lagi sambil menegaskan ujian swab dan kuarantin diwajibkan untuk tujuan melancong ke luar negara.

Terdahulu, Ismail Sabri mengumumkan bahawa perjalanan rentas negeri dan perjalanan ke luar negara dibenarkan berkuatkuasa Isnin (11 Oktober).

Ujarnya, rakyat Malaysia dibenarkan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa melalui #MyTravelPass Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Bagaimanapun, ujarnya pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air, perlu melakukan ujian saringan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dan sebaik tiba di pintu masuk negara.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain