suria

Pandelela Rinong dapat gelaran ‘Datuk’

Pandelela menerima Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran 'Datuk'

RATU terjun negara Pandelela Rinong Pamg menerima pingat Panglima Setia Bintang Sarawak yang membawa gelaran 'datuk' sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir ke-85 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud pada Sabtu.

16 lagi penerima gelaran yang sama ialah Senator Dr Zaiedi Suhaili, Senator Dr Nuing Jeluing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga Simoi Peri, ADUN Samalaju Majang Renggi, ADUN Layar Gerrald Rentap Jabu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Mancha Ata, Datin Dr Zaliha Christine Abdullah, Dr Chin Zin Hing, Haidar Khan Asghar Khan, Profesor Dr Spencer Empading Sanggin, Christopher Adrian, Chai Voon Tok, Dona Babel, Polit Hamzah, Temenggong Wilfred Billy Panyau dan Temenggong Austin Dimin Niyon.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Ahmad Urai Abang Muhideen mengetuai senarai penerima darjah kebesaran negeri dan menerima Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Amar.

Ahmad Urai dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Negara bermula 12 Julai 1988 hingga 9 Julai 1990, bagi menggantikan Tan Sri Benedict Stephens. Sebelum itu, beliau merupakan Timbalan Speaker Dewan Rakyat sejak Ogos 1985.

Terdahulu, veteran politik Sarawak ini pernah dilantik sebagai Menteri Muda Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak pada 1976 dan sebagai Menteri Muda Pertanian dan Masyarakat pada 1981 hingga 11 Oktober 1984.

Sebelum terlibat dalam politik, beliau merupakan penjawat awam negeri untuk lebih 18 tahun.

Turut menerima pingat yang sama, secara posthumous, ialah bekas anggota kabinet pertama Sarawak, Allahyarham Datuk Seri Pengiran Hipni Pengiran Annu.

Sebelum dilantik menyertai kabinet yang dipimpin Stephen Kalong Ningkan itu, Pengiran Hipni merupakan seorang tokoh politik yang dilantik sebagai kaunselor bagi kawasan Matu.

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Sri Nancy Shukri serta Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah, merupakan antara enam penerima darjah Panglima Negara Bintang Sarawak yang membawa gelaran 'Datuk Seri'.

Turut menerima darjah yang sama Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin; Peguam Besar Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid; Setiausaha Kewangan Negeri, Datuk Dr Wan Lizozman Wan Omar dan Pengerusi KKB Engineering Berhad, Datuk Kho Kak Beng.

Dua individu pula menerima pingat Panglima Gemilang Bintang Kenyalang yang membawa gelaran Datuk iaitu Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Ukas, Abdullah Saidol dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Shin Yang, James Ling Lu Kiong. -AWANI

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain