suria

10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia bantu rakyat terjejas akibat pandemik

Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri di Auditorium Perdana Angkasapuri pada petang Jumaat. foto:BERNAMA

MENYEDARI adanya rakyat yang terjejas akibat pandemik, kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan Skuad Keluarga Malaysia adalah usaha menyelaraskan semua mekanisme penyampaian bantuan di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, diletakkan di bawah satu bumbung, Skuad Keluarga Malaysia diterajui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Bagi pelancaran hari ini, seramai 10,000 anggota Skuad Keluarga Malaysia telah bersedia untuk digerakkan ke segenap pelusuk negara bagi membantu rakyat yang terkesan ekoran pandemik.

“Jumlah ini dijangka bertambah apabila lebih banyak kementerian dan agensi serta sukarelawan Keluarga Malaysia mendaftarkan diri,” katanya ketika merasmikan Majlis Prapelancaran Keluarga Malaysia di Auditorium Perdana Angkasapuri pada Jumaat petang.

Beliau turut berkata, pelancaran Skuad Keluarga Malaysia dibentuk hasil pelbagai gerak kerja dan usaha merentas kementerian dan agensi yang diatur bagi memudah cara pelaksanaan program dan inisiatif untuk rakyat dengan pantas serta berkesan.

Jelasnya, ia adalah usaha mencari kebersamaan agar pemegang taruh utama iaitu Keluarga Malaysia merasai nikmatnya.

“Suka saya menarik perhatian semua, 24 hari selepas pembentukan Kabinet baharu, kerajaan telah melancarkan inisiatif Rumah Ikram Keluarga Malaysia di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, yang melibatkan 2,000 unit rumah yang menjadi teduhan kepada Keluarga Malaysia yang kehilangan dan kekurangan pendapatan akibat pandemik Covid-19.

“Kementerian-kementerian melalui penyelarasan berterusan telah merangka pelbagai inisiatif dan usaha bagi memastikan tidak ada Keluarga Malaysia yang akan ketinggalan,” katanya.

Artikel Lain