suria

Pelajar lesap RM11,000 diperdaya rakan Facebook dalam pelaburan tidak wujud

Mangsa dipujuk oleh seorang wanita selepas mendengar cerita pulangan pelaburan sebanyak 25 peratus jika melabur sebanyak RM30,000. -gambar hiasan/foto:THESTAR

SEORANG pelajar lelaki dari sebuah universiti swasta di ibu negara rugi RM11,000 akibat diperdaya rakan Facebook dalam pelaburan tidak wujud kerana tertarik dengan pulangan menguntungkan dalam masa 30 minit.

Pemuda berusia 18 tahun dari Temerloh yang merupakan pelajar jurusan sains itu pada mulanya berminat untuk mendapatkan pulangan lumayan selepas berkenalan dengan seorang wanita di Facebook sebelum mereka berhubung menerusi WhatsApp pada 19 September lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, wanita itu kemudian menceritakan mengenai pelaburan dan keuntungan yang akan diperoleh dalam tempoh singkat.

"Wanita itu memujuk mangsa menyertai pelaburan itu dan menceritakan pulangan sehingga 25 peratus jika membuat pelaburan sebanyak RM30,000.

"Keuntungan pelaburan itu diperoleh dalam tempoh 30 minit. Wanita itu meminta mangsa untuk memasukkan wang jika berminat untuk menyertainya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, wanita tersebut memberitahu akan mengajar mangsa untuk melaksanakan kerja sambilan dengan mendaftarkan diri menerusi aplikasi Mfacorp.

Selepas selesai pendaftaran di aplikasi tersebut, katanya, mangsa diminta untuk memasukkan wang ke dalam akaun yang diberikan.

“Dalam tempoh dua hari iaitu 27 dan 28 September, mangsa telah membuat empat kali transaksi ke tiga akaun bank berbeza berjumlah RM11,000.

"Namun sehingga kini mangsa tidak memperoleh keuntungan dijanjikan, malah wang pelaburannya juga lesap, manakala suspek gagal dihubungi," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan kerana berasa tertipu.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya. -SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain