suria

Tiada perubahan dasar pengambilan pelajar ke MRSM, semua berhak dapat peluang - Mahdzir

(Dari kiri) Pengurus Besar TNB Negeri Kedah, Wan Ishak Soed; Pengerusi Pelitawanis TNB Cawangan Alor Setar merangkap Koordinator Pelitawanis TNB Negeri Kedah, Siti Safinaz Kamaruddin; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Pengarah Hospital Kuala Nerang, Dr Muhammad Shauqi Hj Abdul Kadir.

TIADA perubahan berhubung dasar pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), demikian penjelasan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurut Mahdzir, dasar pengambilan dikekalkan dan cadangan perubahan yang diumumkan sebelum ini tidak akan digunapakai.

Beliau menambah, semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat 'Keluarga Malaysia'.

ARTIKEL BERKAITAN: 1,098 pelajar MRSM dapat semua A

"Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.

"Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan kepada Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan STEM serta Keperibadian pelajar," katanya pada sidang media Majlis Penyerahan Sumbangan Amal Pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang, Kedah, pada Ahad.

Ahli Parlimen Padang Terap itu turut menambah, dasar 10 peratus pengambilan pelajar bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep 'Keluarga Malaysia'.

Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi yang diterapkan MRSM telah menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.

Menurutnya, permohonan yang diterima tahun ini berjumlah 77,834 bagi tingkatan satu dan 24,495 bagi tingkatan empat untuk sesi kemasukan 2022.

Memperincikan lebih lanjut, Mahdzir berkata MRSM hanya mampu menampung sejumlah 7,500 pelajar tingkatan satu dan 2,000 pelajar tingkatan empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.

Tambahnya, dasar MARA mensasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.

Terdahulu, Jawatankuasa Permuafakatan Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Negeri Selangor meminta MRSM memperhalusi dan menarik semula syarat kemasukan yang mengehadkan permohonan pelajar sekolah kebangsaan dan menengah kebangsaan sahaja.

Jawatankuasa itu juga mencadangkan permohonan turut diperluas kepada pelajar SRAI, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Menengah (SAM).

Untuk rekod, bilangan MRSM di seluruh negara adalah 55 buah dan mampu menampung 37,198 pelajar.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain