suria

1,098 pelajar MRSM dapat semua A

Keputusan yang direkod MRSM untuk SPM2020 sangat membanggakan apabila 1,098 daripada 8,095 pelajarnya memperoleh semua A. Gambar hiasan

MAKTAB Rendah Sains Mara (MRSM) mencatat kejayaan apabila seramai 1, 098 pelajarnya memperoleh semua A (A+, A dan A-) dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.

Pencapaian pada tahun ini menyaksikan peningkatan berbanding 761 pelajar pada 2019.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad berkata, 8, 095 calon dari 53 MRSM di seluruh negara menduduki peperiksaan itu dengan kejayaan 100 peratus gred lulus dalam semua mata pelajaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Pencapaian SPM 2020 lebih baik berbanding tahun 2019 - Radzi Jidin

Daripada jumlah itu, 22 pelajar memperoleh semua A+.

Lapan MRSM menunjukkan prestasi cemerlang dengan Gred Purata Maktab (GPM) kurang daripada 2.0 iaitu MRSM Tun Ghafar Baba; Langkawi; Taiping; Alor Gajah; Kuala Kubu Bharu; Johor Bahru; Kuantan dan Pengkalan Hulu.

SPM 2020 bagi MRSM mencatatkan indeks GPM 2.359, meningkat berbanding SPM 2019 (2.538) dan SPM 2018 (2.458).

"Subjek teras dalam SPM 2020 iaitu Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Matematik juga menunjukkan peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) berbanding SPM 2019.

"Subjek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam SPM 2020 juga menunjukkan peningkatan GPS bagi subjek Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal, Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Reka Cipta.

"Subjek elektif lain seperti Prinsip Perakaunan, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan Al-Sunnah serta Ekonomi turut menunjukkan peningkatan dari segi GPS," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Ujarnya, peningkatan itu adalah kerana komitmen pengurusan Mara dan MRSM serta semua warga guru yang memainkan peranan besar dalam kejayaan SPM 2020.

"Sinergi semua pihak memastikan segala program yang disusun berjalan lancar walaupun dalam keadaan pandemik Covid-19," katanya.

Menurutnya, Mara terus komited untuk meningkatkan prestasi akademik calon SPM 2021 melalui inisiatif antaranya menetapkan pakej mata pelajaran dengan memberi fokus kepada bilangan maksimum subjek yang diambil serta menyusun semula peruntukan sela masa bagi subjek STEM.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain