suria

Guru Kafa kena ambil vaksin sebelum bersemuka dengan pelajar - Idris

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad. Foto: Bernama

SUSULAN ketetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang melarang guru belum divaksin mengajar secara bersemuka, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkemungkinan akan mengguna pakai kaedah yang sama.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci oleh Bahagian Pendidikan Jakim berhubung perkara tersebut melibatkan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa).

Justeru beliau menasihatkan guru-guru KAFA untuk segera menerima vaksin sebelum bersemuka dengan murid.

ARTIKEL BERKAITAN: Sekolah tetap dibuka 3 Oktober tanpa libatkan negeri Fasa 1, guru enggan divaksin tak dibenarkan mengajar secara bersemuka

"Sepatutnya guru ini orang paling dekat dengan anak murid, kalau guru Kafa pun saya nasihatkan ambil vaksin.

"Apa yang takut sangat soal vaksin, setakat ini ramai mati sebab Covid-19 daripada mati kena vaksin.

"Perkara ini akan dibincangkan di bahagian pendidikan nanti. Pada saya sepatutnya cikgu itu kena ambil vaksin," katanya.

Idris berkata demikian selepas hadir menyampaikan Bantuan Musa'adah Banjir di Dewan Orang Ramai Matang Gelugor, Matang, Taiping pada Ahad.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata kumpulan guru yang enggan atau masih belum menerima vaksin Covid-19 tidak dibenarkan terlibat dalam sesi pengajaran di dalam kelas serta berinteraksi secara bersemuka dengan pelajar.

Tegasnya, tindakan itu dibuat bagi memastikan sesi persekolahan yang akan dibuka kelak selamat untuk kumpulan pelajar, guru dan pihak pengurusan sekolah.

Sehingga kini ujar Radzi, pihak KPM telah mengenal pasti 2,500 orang guru yang enggan menerima vaksin di seluruh Malaysia atas faktor kesihatan serta sebab-sebab lain seperti tidak yakin dan sebagainya.

Susulan itu ujarnya, kementerian akan melaksanakan sesi libat urus bersama tenaga pengajar terbabit. - SINAR HARIAN

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI