suria

Ajal ketika bertugas... dua anggota polis maut ketika kejar mat rempit

Dua anggota polis maut akibat pertembungan dengan motosikal lain ketika sedang mengejar mat rempit, awal pagi tadi. Gambar hiasan

DUA anggota polis maut dalam satu kemalangan jalan raya akibat bertembung dengan motosikal lain ketika mengejar mat rempit.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, sewaktu kejadian pukul 1.30 pagi itu, kedua-dua anggota tersebut sedang bertugas dalam Operasi Samseng Jalanan oleh Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (BPSTD) Kajang.

Ujarnya, siasatan awal mendapati motosikal jenis Yamaha RXZ yang ditunggang oleh Sarjan Mohd Arifah Md Yasin, 36, dan Konstabel Mohd Muradzi Mohd Nawi, 26, bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 115Z di KM 24.4 Lebuh Raya SILK.

"Kedua-dua anggota yang mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan kepala tersebut maut di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

Sarjan Mohd Arifah merupakan anggota trafik manakala Konstabel Mohd Muradzi pula adalah anggota Cawangan Jenayah (D4) yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang.

Tambahnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Serdang untuk dibedah siasat dan semua kenderaan yang terlibat dibawa ke Balai Trafik IPD Kajang untuk membantu siasatan.

Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.- SINAR HARIAN

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain