suria

Seluruh negara pakai SOP sama, tak timbul isu keliru - “Buat 3.0 marah, 1.0 pun marah...”

Sidang media bersama antara Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

MENTERI Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak timbul isu kekeliruan susulan pengumuman kerajaan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang akan berkuatkuasa esok.

Menjelaskan perkara itu dalam sidang media pada petang Selasa, Ismail berkata seluruh negara akan menggunapakai prosedur operasi standard (SOP) yang seragam.

"Tidak timbul lagi isu kekeliruan lebih-lebih lagi pagi tadi kita menyeragamkan SOP berdasarkan pandangan dan cadangan setiap kementerian.

"Saya harap semua merujuk kementerian berkaitan dan juga di website MKN untuk mendapatkan SOP yang lebih jelas," ujarnya.

ARTIKEL BERKAITAN: PM umum PKP seluruh negara, ziarah Aidilfitri tak dibenarkan

Sidang media berkenaan turut disertai oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam pada itu, Ismail turut menjawab isu yang ditimbulkan rakyat yang mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menggunakan SOP seperti PKP 1.0 yang dilaksanakan tahun lalu.

"Bila kita umum PKP 3.0 semalam ada yang marah. Kenapa tak PKP 1.0? Buat 3.0 marah, 1.0 pun marah... kita tak boleh puaskan rakyat.

"Alasan kita untuk tidak buat PKP 1.0 kerana tidak mahu menyusahkan rakyat. Seperti saya pernah sebut bahawa kita mengimbangi antara keperluan kesihatan dan keperluan penghidupan rakyat," ujarnya.

Tambah Ismail juga, negara kehilangan RM2.4 bilion sehari apabila kerajaan menutup kesemua sektor ekonomi.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Kumpulan peniaga kecil adalah yang terjejas teruk apabila tidak dibenarkan keluar rumah. Cuba kita bayangkan pula mereka yang tinggal di rumah pangsa dua bilik 650 kaki persegi terpaksa duduk beramai-ramai untuk beberapa bulan," ujarnya.

"Kita bincang dengan KKM, dari segi jangka masa untuk kawalan, memang boleh turunkan keluk dengan lebih cepat menerusi PKP 1.0 tetapi tidak bermakna, melalui PKP 3.0 kita tidak boleh melandaikan langsung," tambahnya lagi.

Nak tengok ke posting kelakar dan macam-macam komen? Follow kami di Instagram!

Artikel Lain