suria

PGA edar gambar Sajat, ketatkan kawalan di sempadan elak bolos ke negara jiran

Nur Sajat masih gagal dikesan sehingga kini.

PASUKAN Gerakan Am (PGA) akan mengetatkan lagi kawalan di sempadan Malaysia-Thailand bagi mengelakkan individu yang dikehendaki pihak berkuasa termasuk usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, daripada bolos ke negara jiran.

Selain Sajjad, seorang ahli perniagaan iaitu Datuk Seri Nicky Liow Soon Hee diletak dalam senarai individu dikehendaki dan pihak berkuasa terutamanya di sempadan diarah berjaga-jaga bagi berdepan kemungkinan kedua-dua individu itu melarikan diri ke luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Berpakaian wanita: Sajat tak kebal undang-undang - Ahmad Marzuk

Timbalan Komander PGA Briged Utara Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, gambar Nicky Liow dan Muhammad Sajjad atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat sudah diedarkan di semua pos kawalan PGA dari Bukit Kayu Hitam, Kedah hingga ke Perlis.

"Kita percaya kedua-dua individu ini masih berada dalam negara dan usaha mengesan mereka sedang dilakukan berdasarkan maklumat serta risikan yang diperolehi.

"Anggota PGA turut mengetatkan kawalan di lorong tikus di kawasan sempadan," katanya, lapor Harian Metro.

Ujar beliau, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan individu yang berkenaan bertindak menyamar bagi mengelak dikesan pihak berkuasa untuk melepasi sempadan.

Nur Sajat ketika ini masih gagal dikesan selepas bertindak menghilangkan diri ekoran diburu pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Usahawan itu dikenakan waran tangkap kerana gagal hadir ke mahkamah untuk sebutan semula kesnya berpakaian seperti wanita pada 23 Februari lalu.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain