suria

Zahid cabar seorang menteri Umno letak jawatan dalam Kabinet serta merta - “Ini makhluk perosak”

Ahmad Zahid ketika berucap di PAU2020 pada Ahad. Foto: The Star

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar seorang menteri daripada parti itu untuk meletakkan jawatan dalam Kabinet dengan serta-merta.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut nama menteri berkenaan namun melabelnya sebagai makhluk perosak.

Zahid berkata menteri itu tidak akan mempunyai jawatan Kabinet jika tidak kerana Umno.

ARTIKEL BERKAITAN: Reset politik, Umno terbuka berunding dengan mana-mana parti untuk wujudkan kerajaan selepas PRU15

"Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang menteri tapi tidak ada di pentas ini tapi menikam Umno dari belakang.

"Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno tidak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan," katanya, lapor The Star.

Bagaimanapun, Zahid berkata, dia yakin pemimpin Umno lain setia dan akan meneruskan aspirasi parti.

Dalam pada itu, Umno telah memberi mandat kepada Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) pada bila-bila masa yang sesuai.

Usul tersebut diluluskan ketika Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada Ahad, di mana keputusan itu dicapai menerusi undian sebulat suara daripada perwakilan yang menghadiri perhimpunan berkenaan.

Zahid berkata, pendirian parti itu akan dibuat sekiranya masih tidak mempunyai petunjuk bila Pilihan Raya Umum (PRU) akan diadakan.

"Sekiranya apa yang saya perhatikan betul, sila berdiri dan tunjukkan sokongan anda," katanya ketika menggulung sesi perbahasan PAU 2020 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pada Ahad.

Beliau berkata, 1,110 perwakilan yang menghadiri perhimpunan secara telah berdiri dan menyuarakan sokongan mereka.

Zahid juga menyatakan keyakinannya bahawa Menteri, Timbalan Menteri, ataupun Pengerusi Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) daripada Umno akan akur pada keputusan MKT untuk berundur daripada PN.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain