suria

LLM arah SUKE periksa semua komponen kren gantri, rasuk di tapak pembinaan

Pemandangan dari atas jajaran pembinaan SUKE. Foto: The Star/Izzrafiq Alias

PIHAK Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) diarahkan untuk memeriksa semua komponen kren gantri dan rasuk di tapak pembinaannya, selepas tiga pekerjanya terbunuh dalam insiden baru-baru ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata, kontraktor juga telah diarahkan untuk menghentikan semua kerja di lokasi tersebut kecuali kerja-kerja penstabilan struktur dan usaha menyelamat yang sedang diteruskan.

ARTIKEL BERKAITAN: Kren pembinaan hempap kereta di Lebuhraya SUKE, 3 pekerja asing maut

"Pemaju juga diminta membina jalan masuk sementara untuk penghuni di Kondominium Puncak Banyan yang berdekatan serta memaklumkan kepada pengguna lebuh raya berhubung pelan akses sementara di semua medium komunikasi," kata LLM dalam satu kenyataan pada Selasa (23 Mac).

Langkah dan ketetapan itu diputuskan dalam mesyuarat antara LLM dengan Kementerian Kerja Raya (KKR), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), SUKE, jurutera perunding, jurutera perunding bebas dan kontraktor, hari ini.

LLM juga berkata jalan di Taman Leng Seng (Zon 2) dan Jalan Alam Damai (Zon 3) juga telah ditutup untuk pengguna jalan raya atas alasan keselamatan.

Tambahnya, SUKE perlu mengenal pasti laluan alternatif untuk dilalui pengguna jalan raya di Persiaran Alam Damai (Zon 1) sekiranya ada cadangan untuk menutup laluan berkenaan.

"JKKP dan CIDB sedang menyiasat punca kejadian dan akan mengemukakan laporan kepada kerajaan," kata LLM.

Pembinaan SUKE sepanjang 24.4 kilometer sehingga kini sudah mencapai kemajuan sebanyak 88.8 peratus dan dijadualkan siap pada akhir 2021.

Pada Isnin, sebuah kren di tapak pembinaan jatuh mengakibatkan tiga pekerja asing warga China iaitu Ding Kunfu, Jiang Jinboa dan Mu Tong Zheng maut.

Ding dan Jiang dipercayai terbunuh setelah terjatuh daripada ketinggian 36.6m dan mayat mereka ditemui pada Isnin. Usaha kini sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayat Mu.

Insiden itu juga mengakibat seorang rakyat tempatan cedera parah.

Ini adalah insiden kedua yang melibatkan SUKE tahun ini, selepas lima orang terperangkap dalam sebuah van kilang yang sedang dalam perjalanan di Lebuhraya MRR2 dekat Bandar Tasik Selatan pada 3 Mac ketika sebahagian jejambat dalam pembinaan jatuh di atasnya sekitar jam 5.58 petang akibat dilanggar oleh treler yang membawa jentera berat.

Dalam kejadian awal Mac itu, dua pekerja kilang wanita terbunuh sementara tiga orang lagi cedera parah. - THE STAR

kren gantri, SUKE, LLM

Artikel Lain