suria

Boleh balik kampung atau tidak sempena Aidilfitri, KKM akan putuskan - “Sama-sama kita doa dan patuh SOP”

Kebenaran pergerakan rentas negeri hanya akan dimuktamadkan selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

KEPUTUSAN sama ada kerajaan akan memberi kelonggaran dengan membenarkan pergerakan rentas negeri hanya akan dimuktamadkan selepas mendengar nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri ismail Sabri Yaakob, KKM akan membuat penilaian risiko terlebih dahulu memandangkan pergerakan rentas negeri merupakan salah satu penyumbang kepada peningkatan kes Covid-19.

Ismail Sabri turut memberikan contoh di mana beberapa negeri yang dikategorikan zon hijau sebelum ini, bertukar menjadi zon merah gara-gara ramai yang mengambil kesempatan pulang ke kampung sewaktu diberi kelonggaran, hujung tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Berita baik! Solat tarawih, bazar Ramadan dibenarkan... syaratnya patuh SOP ketat

"Terdapat 32 kluster balik kampung (rentas negeri) yang berlaku. Di Sarawak salah satu contohnya di kawasan rumah panjang. Dulu Sarawak zon hijau, negeri terbaik daripada segi kawalan tapi sekarang banyak kawasan merah dan jingga.

"Satu lagi negeri, Kelantan. Satu ketika sebelum kita benarkan balik kampung Disember lalu merupakan negeri hijau. Tetapi selepas Disember, warga Kelantan di Kuala Lumpur, Selangor balik kampung. Selepas itu Kelantan jadi zon merah. Lebih 65 peratus daerah negeri itu jadi merah

"Sebab itu KKM memandang serius soal balik kampung dan merasakan soal kawalan rentas negeri perlu dilakukan dengan tegas," katanya.

Beliau terdahulu ditanya oleh wartawan sama ada kerajaan akan mempertimbangkan untuk memberi kebenaran pulang ke kampung sempena menyambut Aidilfitri.

Ismail Sabri dalam nada berseloroh meminta rakyat terus berdoa di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Untuk menjawab soalan tadi sama ada raya ni boleh balik atau tidak, KKM lah yang akan memberi nasihat kepada jawatankuasa teknikal atau sidang khas MKN sama ada membenarkan atau tidak.

"Kalau kita semua patuh SOP mungkin kes turun jadi 500, mungkin masa itu KKM akan buat penialain risiko dan memberi nasihat.

"Jadi mana-mana yang nak balik kampung tu, sama-sama kita berdoa supaya ada sedikit kelonggaran. Tapi yang pentingnya, kita patuh SOP insyaAllah kes menurun lebih cepat daripada yang kita jangkakan," katanya lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain