suria

Tweet 1+1+1.... Azmin beri bayangan akan ada lagi MP PKR sokong PN?

Ciapan Azmin menimbulkan spekulasi mengenai bayangan akan ada lagi MP PKR menyatakan sokongan kepada PN.

CIAPAN Menteri Kanan, Datuk Seri Azmin Ali menjadi tular sejurus selepas pengumuman peletakan jawatan dan tindakan keluar parti oleh Naib Presiden PKR, Dr Xavier Jayakumar.

"1 + 1 + 1 +...... dan seterusnya. Alhamdulillah. Kekal tenang," tulis Azmin dalam akaun Twitternya.

Bekas timbalan presiden PKR itu yang 'memutuskan hubungan' dengan Presiden parti Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) tahun lalu - berkemungkinan besar merujuk kepada tindakan keluar parti oleh Ahli Parlimen Julau Larry Sng, Steven Choong (Tebrau) dan yang terbaharu adalah Dr Xavier (Kuala Langat).

ARTIKEL BERKAITAN: MP Kuala Langat Xavier umum keluar PKR

Azmin dikatakan memainkan peranan penting dalam mempengaruhi Ahli-Ahli Parlimen semasa 'Sheraton Move' tahun lalu.

Beliau juga hadir ketika Sng dan Choong menyerahkan Akuan Bersumpah (SD) yang menyatakan sokongan mereka kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Februari.

Terdahulu, Dr Xavier menerusi satu kenyataan media pada pagi Sabtu mengumumkan keluar daripada PKR, berkuat kuasa serta-merta.

"Saya akan terus berkhidmat untuk kawasan saya dan menyokong kerajaan sebagai ahli Parlimen bebas dan yakin bahawa saya akan memenuhi mandat pilihan raya kepada rakyat Kuala Langat," katanya dalam kenyataan tersebut.

Bekas Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli itu berkata, beliau meninggalkan parti yang disertainya pada 1998 kerana 'amat kecewa' dengan peristiwa yang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

tweet Azmin, MP PKR, Dr Xavier

Artikel Lain