PKPB di KL, Selangor, Putrajaya, Labuan sambung atau tidak? Ini jawab Ismail Sabri

Polis menjalankan sekatan jalan raya bagi mengawal pergerakan penduduk di Lembah Klang. -Gambar hiasan/foto Bernama

HANYA beberapa hari saja lagi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya akan tamat.

Ini termasuk tempoh PKPB di Wilayah Persekutuan Labuan yang bakal berakhir pada 30 Oktober depan.

Susulan itu, rakyat terutama penduduk di kawasan berkenaan tertanya-tanya sama ada PKPB yang sepatutnya berakhir pada 27 Oktober ini akan dilanjutkan atau tidak.

ARTIKEL BERKAITAN: Perhatian! PKPB kembali dilaksana di Selangor, KL dan Putrajaya bermula Rabu

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara tersebut akan dibincangkan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat penelitian di kawasan-kawasan berkenaan.

"Saya percaya Kementerian Kesihatan akan membuat penilaian dan analisa mengenai situasi di Selangor, di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

"Selepas penilaian dibuat biasanya begitulah prosedurnya Kementerian Kesihatan akan memberikan nasihat kepada sidang khas MKN (Majlis Keselamatan Negara) untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), petang Sabtu.

Sehubungan itu, Ismail Sabri menasihatkan supaya rakyat terutama di kawasan PKPB bersabar menunggu pengumuman rasmi tersebut.

"Saya percaya, paling lewat pun satu hari sebelum tamat tempoh (PKPB) kita akan umumkan sama ada disambung atau ditamatkan.

"Kita tunggulah... kita tunggu lagi pengumuman yang akan dibuat," katanya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPB di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Labuan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain