PM persembah cadangan, Agong berkenan adakan rundingan bersama Raja-Raja Melayu - Istana Negara

Agong berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh PM. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star.

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Jumaat menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi menyampaikan cadangan yang dicapai menerusi Mesyuarat Khas Jemaah Menteri berhubung situasi semasa Covid-19 di negara ini.

Menerusi pertemuan di Istana Abdul Aziz, Kuantan, Pahang pada 5 petang, Jumaat, Muhyiddin mempersembahkan beberapa cadangan kepada baginda selepas bermesyuarat dengan anggota Kabinet di Putrajaya pada pagi hari sama dikatakan bersetuju melaksanakan darurat susulan situasi pandemik yang makin memuncak ketika ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada sebarang perisytiharan darurat malam ini - Sumber

"Adalah dimaklumkan bahawa Al-Sultan Abdullah amat memahami keperluan kelangsungan pentadbiran negara untuk memerangi ancaman wabak Covid-19.

"Malah, Seri Paduka Baginda amat prihatin terhadap kegesilahan dan kegusaran rakyat ekoran daripada perkembangan terkini ini.

"Al-Sultan Abdullah telah berkenan untuk mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu di Istana Negara dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan yang dikemukakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Istana Negara, Ahmad Fadil Shamsuddin kenyatan itu.

Dalam pada itu, baginda menasihati semua rakyat agar tidak panik, bertenang dan sabar dalam menghadapi situasi semasa sementara menunggu keputusan mengenai cadangan yang dibentangkan.

Malah, baginda turut menasihati rakyat agar mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dan sama-sama berdoa agar wabak itu berakhir segera.

"Seluruh rakyat dinasihati supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dan keresahan serta menggugatkan ketenteraman negara yang kita cintai bersama ini," ujar kenyataan itu lagi.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Artikel Lain