suria

Kumpulan City Coin Laundry fail saman Bubblelab Laundry cecah RM10 juta

Pengarah Urusan City Coin Laundry, Paul Ang.

KUMPULAN City Coin Laundry Sdn Bhd memfailkan tuntutan RM10 juta terhadap Bubblelab Laundry Sdn Bhd atas dakwaan pelbagai fitnah.

Pengarah Urusan City Coin Laundry, Paul Ang berkata, saman telah difailkan menerusi firma guaman Tetuan Chris Koh & Chew pada 29 September lepas.

Dalam penyataan tuntutannya, Paul mendakwa defendan yang juga menjalankan perniagaan dobi rangkaian francais telah menulis, menerbit dan/atau menyebabkan untuk diterbitkan satu artikel mengandungi perkataan fitnah (secara berepisod) yang mengaitkan City Coin Laundry dengan pelbagai fitnah di laman Facebook milik defendan (facebook.com/bubblelab.com.my), beberapa klip audio dan visual yang mengandungi tuduhan dan pernyataan palsu.

Paul mendakwa terbitan-terbitan fitnah itu telah menggambarkan syarikatnya menjalankan perniagaan dengan cara menipu, mengaut keuntungan tanpa menghiraukan kepentingan dan keselamatan francais-francais di bawahnya.

Dakwa Paul, walaupun beliau melalui peguamnya telah meminta Bubblelab Laundry menarik balik artikel itu dan memohon maaf melalui surat tuntutan bertarikh 7 September lepas dalam tempoh dua hari (dari tarikh surat tuntutan) namun defendan enggan berbuat demikian.

Sehubungan itu, Paul menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta perintah lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Beliau juga meminta mahkamah mengeluarkan perintah agar defendan membuang artikel itu daripada laman Facebook dan laman sesawang (facebook.com/bubblelab.com.my/[email protected]) permohonan maaf daripada defendan, faedah pada kadar lima peratus setahun ke atas semua ganti rugi yang diterbitkan oleh mahkamah.

City Coin Laundry adalah sebuah syarikat yang diperbadankan di Malaysia dan merupakan yang pertama dan tunggal diberikan lesen oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk menjalankan Skim Faedah (Interest Scheme) dalam perniagaan dobi layan diri selain sebagai franchisor oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 21 Mac 2017.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain