suria

Covid-19: 8 warga emas penghuni Pusat Jagaan Darul Hanan diuji positif, kini dirawat di hospital

KKM menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua 79 penghuni serta 33 kakitangan pusat jagaan berkenaan. foto:BERNAMA.

PERKEMBANGAN terbaharu Covid-19 di negara ini menyaksikan lapan lagi warga emas diuji positif wabak itu.

Kali ini, ia melibatkan penghuni Pusat Jagaan Darul Hanan di Pongsu Seribu, Pulau Pinang.

ARTIKEL BERKAITAN: Empat lagi kakitangan Bank Muamalat cawangan Kota Kinabalu positif Covid-19

Kesemua pesakit kini menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman berkata kes pertama di pusat jagaan warga emas itu membabitkan seorang wanita berusia 69 tahun yang baharu masuk pada 12 Oktober lepas.

"Wanita itu adalah penghuni baharu di situ dan dia yang mempunyai gejala telah disaring dan ujian mendapati warga emas tersebut positif Covid-19.

"Berikutan itu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas kontak rapat dan mendapati tujuh lagi penghuni terdiri daripada warga emas wanita turut positif wabak itu," katanya.

Semalam Bernama melaporkan, Pusat Jagaan Darul Hanan mengambil langkah segera mengasingkan dan arahan kuarantin ke atas penghuni serta pekerja yang mempunyai kontak rapat dengan sejumlah warga emas dipercayai dijangkiti Covid-19.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata berikutan tujuh kes positif, KKM menjalankan ujian saringan Covid-19 ke atas semua 79 penghuni serta 33 kakitangan pusat jagaan berkenaan.

Katanya, laluan keluar masuk ke pusat berkenaan diperketatkan di samping langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan penularan pandemik dalam kalangan penghuni dan kakitangan pusat jagaan itu.

“Semua kakitangan dan penghuni tidak dibenarkan keluar dari pusat itu, mereka dikuarantin dan orang ramai juga tidak boleh masuk (pusat jagaan) sehingga keadaan mengizinkan. Setakat ini, semua peralatan asas mencukupi," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Agroteknologi, Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan Dr. Norlela Ariffin mengesahkan lapan kes positif Covid-19 di Pusat Jagaan Darul Hanan itu adalah daripada Kluster Alma.

Sehingga hari ini, Kluster Alma merekodkan 17 kes positif Covid-19.

Darul Hanan boleh menampung jumlah maksimum warga emas seramai 200 orang dan dibina di bawah pembiayaan Yayasan Bukhary di atas sebahagian tanah MAINPP seluas 3.2 hektar bagi penempatan dan penjagaan warga emas Islam lelaki dan perempuan.- BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain