suria

Tujuh korban pada Ahad, Malaysia rekod 871 kes baharu Covid-19

Malaysia merekodkan 871 kes baharu positif Covid-19 pada Ahad. -foto Bernama

PENULARAN Covid-19 di negara ini merekodkan 871 kes baharu, menjadikan keseluruhan 20,498 kes setakat Ahad.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 7,049 di mana pesakit sudah diasingkan dan diberi rawatan.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, daripada 871 kes baharu yang dilaporkan, 866 merupakan kes penularan di dalam negara, dan baki lima kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Paling tinggi! Jangkitan Covid-19 catat 869 kes baharu, 4 lagi korban di Sabah... 91 di ICU

Sabah pada hari ini mencatat 702 kes, rekod tertinggi antara negeri diikuti Selangor (72) kes, Pulau Pinang (45), Perak (10), Kedah (9), Labuan (9), Kuala Lumpur (7), Sarawak (5), Negeri Sembilan (3), Terengganu (2), Johor (1), dan Melaka (1).

Tambah Dr Noor Hisham, tujuh kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kematian meningkat kepada 187 kes.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dukacita dimaklumkan terdapat pertambahan tujuh kes kematian berkaitan Covid-19 hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia sebanyak 187 kes," ujarnya menerusi kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Ahad petang.

Dalam pada itu, 701 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 13,262 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, 86 kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 28 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam pada itu, KKM memaklumkan terdapat empat kluster baharu hari ini iaitu Kluster Bah Layangan, Kluster Alma, Kluster Auto dan Kluster Kepayan.

Berikut perincian kes kematian pada Ahad:

1) Kes 181 - Lelaki warganegara Malaysia berumur 61 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

2) Kes 182 - Perempuan warganegara Malaysia berumur 70 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.

3) Kes 183 - Lelaki warganegara Malaysia berumur 57 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

4) Kes 184 - Perempuan bukan warganegara berumur 55 tahun dengan latar belakang penyakit darah tinggi. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

5) Kes 185 - Lelaki bukan warganegara berumur 41 tahun. Pesakit meninggal dunia di Hospital Tawau.

6) Kes 186 - Lelaki warganegara Malaysia berumur 44 tahun dengan latar belakang penyakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan dislipidemia. Pesakit meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

7) Kes 187 - Perempuan warganegara Malaysia berumur 46 tahun. Pesakit meninggal dunia di Pusat Perubatan di Selangor

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

korban, Covid-19, Sabah, KKM, kematian, positif

Artikel Lain