suria

Dua lelaki ditembak depan sekolah menengah di Banting, tiga pelajar mangsa rempuhan turut cedera

Gambar yang tular di media sosial berhubung insiden tembakan dan kemalangan di depan sebuah sekolah menengah di Banting, tengah hari Jumaat. Foto: Facebook

DUA lelaki yang menaiki sebuah kereta cedera akibat ditembak oleh lelaki bersenjata dalam satu kejadian di hadapan sebuah sekolah menengah di Banting, Selangor, tengah hari Jumaat.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, mangsa yang cuba melarikan diri daripada lelaki bersenjata berkenaan kemudian merempuh sekumpulan pelajar dan beberapa buah kereta lain.

Kejadian berlaku pada kira-kira pukul jam 12.45 tengah hari.

"Suspek telah mengekori dan melepaskan tembakan ke arah kereta jenis BMW yang dipandu oleh seorang lelaki yang merupakan pengawal peribadi kepada kepada seorang lagi mangsa lelaki.

"Kedua-dua mangsa cedera di dada dan bahagian badan yang lain dan dikejarkan ke Hospital Banting untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Dalam pada itu beliau menambah, tiga pelajar sekolah yang dirempuh mengalami kecederaan di kaki dan leher dan mereka turut dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Doktor juga memeriksa sama ada mereka mengalami kecederaan lain," katanya lagi.

Beliau berkata polis kini sedang berusaha untuk mengenal pasti suspek yang menaiki motosikal ketika melakukan serangan berkenaan.

"Kami percaya motif di sebalik serangan itu adalah pertembungan antara dua kumpulan," katanya.

Beliau meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan insiden itu agar menghubungi balai polis terdekat. - THE STAR

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

sekolah, Banting, tembak, pelajar, rempuhan

Artikel Lain