suria

Covid-19: 10 kes baharu direkodkan, penularan tempatan libatkan individu di Kedah dan Selangor

Sebanyak 10 kes baharu positif Covid-19 direkodkan pada Jumaat. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini penularan Covid-19 di negara ini merekodkan 10 kes baharu, menjadikan keseluruhan 9,306 kes setakat Jumaat.

Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 151 kes, dan mereka telah diasingkan serta diberi rawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 5 kes positif Covid-19 direkodkan, 3 di Kem Terendak

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 10 kes baharu yang dilaporkan, lapan kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara melibatkan seorang warganegara dan tujuh warga asing.

Menurut Dr Noor Hisham, dua kes penularan di dalam negara melibatkan seorang warganegara yang dikesan di negeri Kedah, iaitu daripada saringan bergejala.

Manakala kes bukan warganegara pula dikesan di negeri Selangor iaitu kes saringan tahanan yang merupakan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari Depot Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil.

"Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes," katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Sebanyak 36 kes telah pulih Covid-19 pada Jumaat dan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah 9,030 kes.

"Sehingga kini, terdapat lapan kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana enam kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, kes import, tempatan

Artikel Lain