Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

Saravanan (tengah) melancarkan Seminar Promosi Kesihatan di Tempat Kerja 2020 dan majlis anugerah Activ@Work Challenge 2019. Turut serta Mohammed Azman (kiri) dan pengasas BookDoc, Chevy Beh.

BEBERAPA bulan kebelakangan ini menyaksikan aspek penjagaan kesihatan adalah keutamaan dalam memerangi wabak Covid-19, namun keselamatan dan kesihatan pekerja sentiasa menjadi dasar penting, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

"Saya menggesa semua majikan untuk menyokong dan melaksanakan aktiviti mempromosi kesihatan untuk pekerja mereka kerana setiap kehidupan sangat berharga.

"Tenaga kerja yang sihat adalah aset bagi masyarakat dan negara," tambah beliau pada pelancaran Seminar Promosi Kesihatan di Tempat Kerja 2020.

Majlis turut menyaksikan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengadakan majlis penganugerahan Activ@Work Challenge 2019 untuk memberi penghargaan kepada pemenang Activ@Work Challenge, yang berlangsung dari September hingga November tahun lalu.

Menurut Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), seramai 2.78 juta pekerja meninggal dunia akibat kemalangan ketika bekerja dan penyakit yang berkaitan dengan pekerjaan.

Daripada jumlah itu, seramai 2.4 juta berkaitan dengan penyakit, manakala tambahan 374 juta pekerja mengalami kemalangan ketika bekerja namun tidak menyebabkan kematian.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pekerja merupakan aset utama bagi mana-mana organisasi dalam memacu perniagaan dan meningkatkan kedudukannya.

"Majikan seharusnya memandang serius aspek promosi kesihatan kerana kajian menunjukkan bahawa setiap dolar yang dibelanjakan untuk promosi kesihatan akan menghasilkan penjimatan kira-kira tiga dolar untuk perbelanjaan kos perubatan dan ketidakhadiran," katanya.

Tambahan pula, peningkatan beban kerja dan tanggungjawab dalam persekitaran kerja hari ini memaksa rakyat Malaysia menghabiskan lebih banyak masa di tempat kerja, sehingga menimbulkan masalah kesihatan dan kesejahteraan pekerja.

Ini terutama apabila berlakunya faktor risiko penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan pekerja di negara ini.

Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Nasional 2019 mendedahkan bahawa 9.4 peratus dewasa Malaysia adalah penghidap diabetes, 15.9 peratus mengalami hipertensi dan 50.1 peratus adalah berat badan berlebihan atau obesiti.

Penemuan tersebut adalah selari dengan penyebab utama kematian di negara ini, iaitu penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung dan strok.

Data Perkeso menggambarkan keadaan sebenar, dengan data 2019 menunjukkan bahawa 22,591 di antara 7.2 juta pekerja yang diinsuranskan di bawah Perkeso dilaporkan tidak sah disebabkan oleh NCD.

Bilangan tuntutan untuk Pencen Penakat dan Pencen Ilat kerana NCD juga meningkat lebih 100 peratus antara 2010 dan 2019.

Selain itu, penemuan Program Saringan Kesihatan (HSP) yang dilancarkan pada 2013 bertujuan untuk menyediakan kemudahan pemeriksaan kesihatan percuma kepada pekerja yang berkelayakan berusia 40 tahun ke atas untuk pengesanan awal NCD, juga membimbangkan.

Program tersebut telah menyaring lebih 570,000 orang setakat ini dan mendapati 73 peratus pekerja yang disaring mempunyai berat badan berlebihan, 27 peratus mengalami hipertensi dan sembilan peratus menghidap diabetes, serta kira-kira 61 peratus didapati mempunyai kolesterol darah tinggi – dengan semua faktor yang boleh menyumbang kepada kecacatan dan kematian kerana NCD tanpa campur tangan.

"NCD mempunyai kesan ekonomi yang melangkaui punca penderitaan yang dialami mereka secara peribadi. Mereka memberi tekanan lebih besar pada sistem kesihatan negara, manakala perniagaan menghadapi kerugian ekonomi akibat produktiviti pekerja yang berkurangan," kata Saravanan.

Utamakan pencegahan

Inilah sebabnya mengapa program seperti Activ@Work Challenge sangat penting untuk mengutamakan pencegahan, sejajar dengan kempen global ‘Vision Zero’ oleh Persatuan Keselamatan Sosial Antarabangsa (ISSA).



Wakil ​​​​​​Tenaga Nasional Bhd (tengah) menerima anugerah daripada Saravanan (kanan). Turut serta adalah Mohammed Azman.

Mohammed Azman berkata, salah satu tunjang keselamatan sosial adalah pencegahan.

"Perkeso terlibat dalam aktiviti pencegahan selama lebih sedekad. Kita percaya bahawa pencegahan perlu menjadi teras dalam setiap program keselamatan sosial.

"Kita tidak seharusnya menerima sebarang kematian dan kecacatan akibat penyakit atau kecederaan. Kita berharap penekanan terhadap pencegahan akan diterjemahkan kepada pengurangan kecacatan dan kematian akibat NCD," katanya.

Activ@Work Challenge merupakan kerjasama dengan BookDoc yang bertujuan untuk menjadi pemangkin kepada majikan dan pekerja untuk aktif secara fizikal.

Daripada 132 majikan yang mengambil bahagian ketika dilancarkan pada 2017, jumlahnya meningkat kepada 237 majikan pada 2019, dengan penyertaan kakitangan sektor kerajaan.

Selain Activ@Work Challenge, Perkeso juga melaksanakan beberapa inisiatif sejak bertahun-tahun, termasuk Program Promosi Kesihatan di Tempat Kerja yang mana Seminar Promosi Kesihatan di Tempat Kerja 2020 merupakan sebahagian daripadanya.

Tujuannya adalah untuk memberikan sokongan dan bimbingan kepada majikan dalam mewujudkan persekitaran kerja yang sihat dan kondusif.

Sementara itu, inisiatif Vision Zero, yang memberi penekanan terhadap pencegahan penyakit dan kecederaan melalui campur tangan sistematik di tempat kerja, adalah untuk mencapai morbiditi sifar yang disebabkan oleh NCD dan kesulitan daripada kecacatan, melalui toleransi sifar untuk tingkah laku berisiko tinggi.

Dengan perkembangan yang perlahan, Vision Zero pada masa ini hanya diamalkan oleh 29 rakan kongsi dan 262 syarikat.

Saravanan berpandangan bahawa beliau mahu melihat lebih banyak syarikat mengamalkan Vision Zero.

"Saya fikir setelah hampir empat tahun, bilangan majikan yang mengambil bahagian terlalu rendah. Kita mahu setiap majikan dan pekerja komited dan mengamalkan gaya hidup sihat.

"Oleh itu, saya mahu semua majikan supaya mempertimbangkan bagi mengamalkan Vision Zero untuk mengurangkan kecederaan dan penyakit di tempat kerja," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Berkaitan

Klik

Kajian semula tarif IWK amat diperlukan untuk penjagaan alam sekitar dan kebersihan awam

DALAM usaha untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia, banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar ketika tempoh PKP.

Ayuh utamakan keselamatan pekerja! Jom sasar kurangkan kecederaan, penyakit di tempat kerja

KESELAMATAN dan kesihatan dalam kalangan pekerja perlu sentiasa menjadi keutamaan.

Wow! Usahawan dedah bagaimana SOP mampu jadikan bisnesnya lebih power

FRASA 'SOP' (Prosedur Operasi Standard) telah menjadi buah mulut dalam kalangan rakyat Malaysia sejak PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dimulakan pada bulan Mac 2020.

Semua ada! Menu dunia, lokasi menarik lengkapkan pakej Australia... destinasi ‘wish list’ percutian anda

AUSTRALIA bukan sahaja mempunyai pelbagai lokasi menarik tetapi menawarkan pelbagai pilihan makanan halal yang cukup mudah diakses di mana sahaja.

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain