suria

Aktiviti kunjung-mengunjung disyaki punca wujud kluster baharu di Labu Lanjut

Lima individu telah dijangkiti setakat ini.

SATU kluster baharu Covid-19 dikesan di Labu Lanjut, Sepang dengan lima individu telah dijangkiti setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan (KKM), Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes positif baharu itu disyaki ada kaitan dengan aktiviti kunjung-mengunjung.

"Kes indeks adalah merupakan seorang pesakit yang dirawat untuk Acute Respiratory Infection (ARI) di Hospital Serdang di mana beliau dikesan positif pada 5 Jun lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

ARTIKEL BERKAITAN: Hanya 3 kes di ICU, Malaysia catat 21 kes positif Covid-19 pada Sabtu

Menurut beliau, aktiviti pengesanan kes secara aktif mendapati ahli keluarga pesakit turut dikesan positif jangkitan itu.

"Empat ahli keluarga beliau (iaitu dua anak dan dua cucu) juga telah dikesan positif Covid-19.

"Tiga ahli keluarga tinggal serumah dengan beliau manakala seorang lagi dari tempat kediaman yang lain," katanya

Malah Dr Noor Hisham berkata, seramai 29 kontak rapat pesakit telah dikenal pasti dan disaring.

"Siasatan dan saringan kontak rapat terus dijalankan di mana setakat ini seramai 29 orang telah dikenalpasti dan disaring.

"25 kontak rapat didapati negatif Covid-19. Punca jangkitan kluster ini adalah masih dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut mengingatkan orang ramai bahaw jangkitan Covid-19 masih wujud di dalam komuniti.

"KKM menyeru masyarakat agar sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 apabila melakukan aktiviti kunjung-mengunjung, terutama apabila melibatkan warga emas dan kanak-kanak," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain