suria

‘Dexamethasone’ ada kesan sampingan, jangan salah guna untuk rawat Covid-19

Seorang petugas di makmal sedang menjalankan ujian untuk mengenalpasti sampel pesakit Covid-19. Foto: AFP

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya tidak menyalah guna atau mengambil ubat 'Dexamethasone' tanpa preskipsi daripada doktor untuk merawat wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini kerana ubat berkenaan mempunyai kesan sampingan, dan ia perlu diimbangi dengan keperluan penggunaannya bagi penyakit-penyakit tertentu.

ARTIKEL BERKAITAN: WHO pilih Malaysia jalankan penyelidikan Covid-19 guna ubat antiviral Remdesivir

"Salah satu kesan sampingannya adalah sindrom 'cushing', penipisan kulit, dan beberapa siri kesan sampingan seperti kehilangan keupayaan tulang serta kelemahan otot, bergantung kepada tempoh berapa lama pengambilannya," katanya pada sidang media perkembangan Covid-19 pada Rabu.

Beliau berkata Dexamethasone adalah sejenis ubat steroid yang digunakan untuk mengurangkan radang dalam pelbagai penyakit, termasuk kepada pesakit kanser, dan Kementerian Kesihatan Malaysia mengambil maklum perkembangan awal ujian klinikal ubat Dexamethasone dalam merawat Covid-19 yang dikenali sebagai 'Recovery Trial' di University of Oxford itu.

"Hasil dapatan awal 'Recovery Trial' menunjukkan ubat ini dapat mengurangkan risiko kematian iaitu sehingga satu pertiga dalam kalangan pesakit Covid-19 yang mempunyai gejala penafasan yang serius, terutamanya mereka yang berada di tahap lima dan memerlukan bantuan pernafasan.

"Namun, ujian klinikal ini juga mendapati ubat ini tidak membantu dalam rawatan pesakit Covid-19 yang hanya mempunyai gejala ringan atau yang tidak memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Katanya ubat ini hanya digunakan di wad Unit Rawatan Rapi, maksimum empat miligram dan lima hari sahaja dalam kalangan pesakit kritikal Covid-19 tahap lima. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain