suria

1 Syawal catat 60 kes baharu positif Covid-19

Petugas kesihatan barisan hadapan menguruskan kemasukan seorang pesakit di Jabatan Kecemasan dan Trauma pada hari raya pertama Aidilfitri di Hospital Putrajaya pada Ahad. Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Ahad ketika umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri menyaksikan pertambahan 60 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan positif virus itu sebanyak 7,245 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,185 kes.

Bagaimanapun, tiada kes kematian berkaitan Covid-19 dicatatkan pada Ahad.

"Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian kekal sebanyak 115 kes," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Ahad, Dr Noor Hisham berkata, terdapat sembilan kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 33 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Ahad.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 5,945 kes," kata Dr Noor Hisham.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, 1 Syawal,

Artikel Lain