suria

Degil! Masih cuba curi-curi rentas negeri balik kampung beraya... lebih 1,000 kenderaan diarah patah balik

Aliran trafik di Plaza Tol Duta menghala ke utara tanah air pada Sabtu perlahan ekoran sekatan jalan raya bagi menyaring pemandu yang masih mahu pulang menyambut Aidilfitri. Foto Bernama

DEGIL! Lebih 1,000 kenderaan yang masih cuba curi-curi merentas negeri untuk pulang ke kampung menyambut 1 Syawal.

Jumlah mereka yang diarah berpatah balik kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) iaitu 1,158 kenderaan pada Sabtu, iaitu hari terakhir Ramadan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiga negeri iaitu Selangor (460 kes), Melaka (121 kes) dan Negeri Sembilan (95 kes) dikenal pasti mencatatkan jumlah cubaan rentas negeri tertinggi yang dikesan dalam sekatan jalan raya rentas sempadan negeri yang dibuat di seluruh negara pada Sabtu.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengadakan 162 sekatan jalan raya rentas sempadan negeri di seluruh negara dan memeriksa 157,364 kenderaan.

"Sebanyak 1,158 kenderaan cuba merentas negeri atas alasan mahu pulang ke kampung dan diarah berpatah balik oleh PDRM berbanding 1,613 kenderaan pada hari sebelumnya, ” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa 30,702 kenderaan persendirian, 2,052 kenderaan awam dan 286 vessel selain 10,637 pasar awam, 4,045 tempat ibadah, 944 tempat riadah dan 636 tapak pembinaan.

"PDRM menahan 156 individu dan menahan reman 50 individu atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP). PDRM telah mengeluarkan kompaun kepada 106 individu atas kesalahan melanggar SOP," katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa setakat ini 270 pusat kuarantin beroperasi pada Ahad berbanding 271 pada Sabtu, dengan 14,962 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib.

Seramai 40,264 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara menjalani proses kuarantin wajib sejak 3 April lepas manakala 32,287 individu selesai menjalani proses itu dan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing. - Bernama

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

rentas negeri, balik kampung,

Artikel Lain