suria

Malaysia catat 48 kes baharu positif Covid-19, 21 kes dikesan di depoh tahanan di Semenyih

Malaysia mencatatkan 48 kes baharu positif Covid-19 pada Sabtu. Foto: Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai penularan wabak Covid-19 menyaksikan Malaysia merekodkan 48 kes baharu, menjadikan keseluruhan 7,185 kes setakat Sabtu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,158 kes.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia catat 78 kes baharu, satu lagi korban akibat Covid-19 dilaporkan

"Daripada 48 kes baharu yang telah dilaporkan, empat kes adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara.

"Daripada 44 kes penularan tempatan, 25 kes adalah bukan warganegara Malaysia di mana 21 kes telah dikesan di Depoh Tahanan Imigresen di Semenyih," katanya menerusi sidang media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Sabtu petang.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan, tiada kes kematian akibat Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kekal 115 kematian.

"Daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, dimaklumkan bahawa tiada kes kematian berkaitan Covid-19 setakat ini.

"Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 115 iaitu bersamaan 1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," ujarnya

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sehingga hari ini, 53 kes telah pulih dan dibenarkan discaj menjadikan 5,912 kes keseluruhan pulih di Malaysia.

Untuk rekod semasa, sembilan kes positif Covid-19 kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan daripada jumlah itu, lima kes memerlukan bantuan pernafasan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM

Artikel Lain