suria

Dr Noor Hisham minta frontliners sabar bertugas ketika Aidilfitri – “InsyaAllah pengorbanan kita akan berjaya memutuskan rantaian jangkitan”

Petugas barisan hadapan diminta bersabar ketika bertugas sewaktu Hari Raya Aidilfitri. Foto: Bernama

SEMUA petugas barisan hadapan yang perlu bekerja pada Hari Raya tahun ini, diminta menjalankan tugas dengan penuh kesabaran, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pengorbanan golongan itu amat dihargai, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan Covid-19 di negara ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima bulan kerja bertungkus lumus tak kira masa, warga KKM bakal nikmati ‘time off’ secara bergilir

"Bagi mereka yang bertugas di sepanjang tempoh Aidilfitri ini, terima kasih diucapkan kepada anda, semua yang berdedikasi berkhidmat untuk negara.

"Jadi kita harap barisan hadapan kita yang bekerja pada Hari Raya pertama, kedua, dan ketiga, bersabar. Insyallah pengorbanan kita untuk negara ini akan berjaya memutuskan rantaian jangkitan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 pada Sabtu.

Terdahulu, Dr Noor Hisham mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada umat Islam di Malaysia, serta mengucapkan selamat bercuti kepada mereka yang bukan Islam.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya pada Ahad (esok) dalam suasana kebiasaan baru, dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk jarakan sosial, bagi memastikan tiada peningkatan mendadak kes Covid-19.

Dalam sidang media hari ini Hisham mengumumkan sebanyak 48 kes baru positif Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif kini 7,185 kes, 5,912 kes pulih sepenuhnya daripada wabak itu dan telah discaj daripada wad, selain angka kematian kekal pada 115. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Covid-19, KKM, frontliners, pengorbanan

Artikel Lain