suria

Tiada ‘tanda khas’ warga asing dah buat ujian swab Covid-19, Ismail Sabri dedah ramai Pati termasuk tekong ditahan di lorong-lorong tikus

Ismail Sabri mendedahkan sudah ada tangkapan dibuat di lorong-lorong tikus.

KERAJAAN bukan sahaja sudah mengenal pasti lorong-lorong tikus di sempadan negara, malah telah melakukan tangkapan ke atas pendatang asing tanpa izin (Pati) dalam usaha mengekang penularan Covid-19 di Malaysia.

Perkara itu diumumkan Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menerusi sidang media hariannya pada Isnin.

"Mengenai lorong-lorong tikus, kerajaan telah mewujudkan special task force yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dianggotai semua agensi beruniform, untuk bersepadu mengawal pintu masuk tidak rasmi iaitu lorong tikus.

"Jadi semua kawasan itu telah kita kenal pasti. Sebenarnya saya tidak melaporkan sudah ada tangkapan dibuat termasuk tekong-tekong mereka.

"Ramai telah ditangkap selepas kita lakukan kawalan bersepadu, cuma tak mahu hebahkan. Untuk pengetahuan rakyat, apa yang kita lakukan mampu menyekat kemasukan Pati melalui lorong tikus," ujarnya.

Dalam pada itu, Ismail berkata pihaknya akan berbicang dengan Kementerian Sumber Manusia bagi mencari kaedah untuk mengenalpasti warga asing di negara ini yang sudah pun menjalani ujian saringan Covid-19.

Ujarnya, setakat ini mereka hanya diberikan surat jika didapati negatif dan ia boleh dijadikan bukti sekiranya mereka ditahan atau diminta memberi pengesahan mengenai status kesihatan mereka.

"Setakat hari ini, sesiapa yang menjalani swab test Covid-19, pihak hospital atau klinik akan keluarkan surat yang mengatakan mereka negatif atau positif. Kalau positif terus masuk hospital, negatif akan dikeluarkan surat.

"Mungkin kalau melalui sekatan, ada pemeriksaan, mereka boleh tunjukkan surat. InsyaAllah saya akan bincang dengan Kementerian Sumber Manusia. Mungkin majikan boleh sediakan tag jika mereka sudah melakukan ujian Covid-19," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

lorong tikus, sempadan negara, ATM, PATI

Artikel Lain