suria

Terkini 70 kes baharu, satu kematian akibat Covid-19 libatkan lelaki berusia 63 tahun

Pesakit Covid-19 yang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Gambar hiasan/Foto Bernama

PERKEMBANGAN terkini mengenai Covid-19 di Malaysia setakat Isnin (11 Mei 2020) menyaksikan pertambahan 70 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan virus itu sebanyak 6,726 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,504 kes.

"Terdapat 70 kes baharu yang telah dilaporkan, di mana 31 kes adalah dalam kalangan bukan warganegara Malaysia. Daripada 70 kes baharu. terdapat 13 kes import dan 57 kes penularan tempatan," katanya pada sidang media, petang Isnin.

Beliau memberitahu, terdapat satu kes kematian terbaharu akibat Covid-19 di negara ini.

"Justeru, ia menjadikan jumlah kumulatif kematian sebanyak 109 kes," tambahnya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-109 (kes ke-6,657) merupakan lelaki warganegara Malaysia berumur 63 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit kencing manis dan penyakit barah hati.

"Beliau telah dirawat di Hospital Kuala Lumpur pada 8 Mei dan disahkan meninggal dunia pada 10 Mei pukul 5.15 pagi," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kes Covid-19 setakat Isnin, Dr Noor Hisham berkata, terdapat 20 kes yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu, katanya, tujuh kes memerlukan bantuan pernafasan.

Menurut beliau lagi, sebanyak 88 kes yang telah pulih sepenuhnya dan dibenarkan discaj pada Isnin.

"Ia menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dan telah discaj adalah sebanyak 5,113 kes," kata Dr Noor Hisham.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

kes, Covid-19, kematian,

Artikel Lain