suria

PKPB: Rakyat Malaysia dapat lampu hijau bantu lapor polis jika ada pelanggaran SOP

Sekatan jalan raya sewaktu PKP. Foto: Bernama

SEJAK kerajaan mengumumkan akan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula 4 Mei (esok), ramai yang melahirkan rasa bimbang sekiranya ada pihak yang mengambil kesempatan untuk bergerak bebas.

Namun tegas Menteri Kanan (Keselamatan) yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, rakyat masih tertakluk kepada peraturan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Justeru katanya, kerajaan menggalakkan orang ramai untuk terus melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mana-mana pihak didapati melanggar SOP.

ARTIKEL BERKAITAN: “Maaf... tak boleh balik kampung beraya” - PM umum PKPB... ketahui apa yang boleh dan tak boleh dilakukan mulai 4 Mei ini

ARTIKEL BERKAITAN: Rakyat Malaysia... PKP tak ditarik balik, yang ingkar masih kena tindakan - Ismail Sabri

"Saya sangat mengalukan pemantauan SOP bukan kepada anggota yang beruniform tetapi semua rakyat untuk membantu kerajaan bagi memastikan pematuhan SOP oleh rakyat yang lain.

"Jika ada pelanggaran SOP, iya, laporkan kepada pihak polis segera apabila didapati ada pihak yang melanggar SOP dan sebagainya.

"Walaupun kita buka, mereka masih tertakluk kepada SOP. Jika ada pelanggaran SOP, kita akan tutup premis yang melanggar SOP tersebut.

"Jika ada satu syarikat, tiba-tiba ada seorang staf mereka yang didapati positif Covid-19, seluruh syarikat itu akan ditutup serta merta," katanya dalam sidang media harian berkaitan PKP pada Ahad.

Ditanya sama ada pihak yang bebas bergerak keluar tanpa keperluan bakal dikenakan tindakan undang-undang atau sebaliknya, Ismail sebaliknya mengingatkan rakyat agar bertanggungjawab terhadap keselamatan diri sendiri dan keluarga masing-masing.

Ujarnya lagi, rakyat sepatutnya bijak untuk mengelakkan diri daripada keluar tanpa sebab ketika PKPB apatah lagi membawa anak-anak dan mendedahkan mereka kepada risiko.

"Kalau tak ada undang-undang sekat bawa anak keluar, kita sendiri lah, dari segi kawalan kendiri. apakah perlu bawa anak ke tempat yang ramai orang dan sebagainya.

"Kalau tak perlu, tak perlu bawa jika ia membahayakan... kawalan kendiri lebih penting. Kalau ada kawalan kendiri, walau tak ada undang-undang pun kita boleh kawal diri sendiri daripada buat perkara yang bahaya kerana yang rugi adalah diri kita sendiri," ujarnya yang menjadikan Taiwan sebagai contoh kerana menerusi disiplin rakyatnya kehidupan mereka kembali seperti sedia kala.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

PKPB, PKP, lapor polis, kawalan kendiri

Artikel Lain